
GUA MUSANG: Kerajaan negeri mempunyai hak untuk mengambil semula tanah yang diberi kepada Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) sekiranya kebajikan peneroka terus dinafikan.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kelulusan hak milik tanah yang dikeluarkan kerajaan negeri kepada Kesedar ada yang belum diproses untuk diserahkan kepada peneroka.
Katanya, kerajaan negeri telah meluluskan tanah kepada Kesedar walaupun ada di antaranya belum dibayar premium penuh.
“Sepatutnya kalau tidak memikirkan tentang kebajikan rakyat, kerajaan negeri ada kuasa untuk mengambil semula tanah yang dilulus daripada Kesedar,” katanya pada sidang media hari ini.
Menurutnya juga kerajaan negeri akan membuat pertimbangan sewajarnya ekoran kegagalan Kesedar menunaikan impian peneroka mendapat hak milik tanah.
Kata beliau juga kerajaan negeri akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyelesaikan masalah hak milik tanah untuk mengelakkan peneroka menjadi bahan ugutan politik.
Beliau berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai masalah untuk memberi kelulusan tersebut selagi pemohon mengikut prosedur ditetapkan dan menyediakan dokumen yang lengkap.
“Insya-Allah kita akan menubuh ‘task-force’ atau jawatankuasa khususnya untuk melihat kembali atas dasar kepentingan rakyat khususnya di Nenggiri.
“Kalau perlu kita buat sesuatu yang boleh mempercepatkan proses pemilikan tanah kepada rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/8/2024











