Konvoi sempena merdeka bangkit semangat cinta Malaysia

- Advertisement -

SEPANGGAR: “Konvoi sempena hari kemerdekaan membangkitkan semangat cinta Malaysia,” kata ADUN Dilantik Sabah, Dr Aliakbar Gulasan.

- Advertisement -

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS negeri berkata, konvoi itu bertujuan untuk menyemarakkan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia daripada pelbagai pihak termasuk ahli kelab permotoran.

“Dengan aktiviti seperti ini dapat menggalakkan penduduk kampung mahupun taman perumahan untuk sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah di kediaman masing-masing sebagai tanda semangat patriotik serta cintakan tanah air,” katanya di sini semalam.

Program Konvoi Hari Malaysia dan Kempen Kibar Jalur Gemilang tersebut merupakan anjuran bersama Kelab Permotoran Alternatvie Riding Club (ARC) Sabah yang menyasarkan beberapa buah kampung sekitar Sepanggar, antaranya Kampung Tebobon, Kampung Boronuon, Kampung Maruah, Kampung Gudon, Taman Sepanggar, Kampung Gentisan, Kampung Karambunai dan Kampung Lokub.

Lebih 100 orang peserta yang melibatkan 50 buah motosikal daripada ARC, 10 pegawai polis trafik, penduduk kampung, pemuda serta muslimat PAS Sepanggar mengiringi Dr Aliakbar sepanjang konvoi tersebut berlangsung.

Turut serta dalam konvoi tersebut Ketua Pemuda PAS Sabah, Hendri Hamsah, Timbalan Presiden ARC Zon Borneo, Che Mohamad Hafifi Che Mee, Pengarah ARC Sabah, Rashlee Jonklas dan Ketua Dewan Muslimat PAS kawasan, Ummu Ahnaf Abu.

Selain itu, turut diadakan edaran Jalur Gemilang kepada ketua-ketua kampung serta singgah meraikan jemputan penduduk untuk menikmati musim buah durian dan tarap.

Dr Aliakbar berharap penduduk kampung merasai dan menyemarakkan suasana Hari Malaysia dengan melaksanakan pelbagai aktiviti bagi menghidupkan hari yang gemilang itu. – HARAKAHDAILY 12/8/2024

- Advertisement -