‘Mereka tidak meminta, kitalah sewajarnya cakna’

Hassanuddin Salim (kiri) menziarahi sebuah keluarga pada prgram tersebut.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Mereka tidak meminta, namun kitalah sebagai warga yang diberi kelebihan rezeki oleh Allah SWT yang sewajarnya cakna terhadap mereka yang diuji di sekeliling kita,” kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Semantan, Hassanuddin Salim.

- Advertisement -

Beliau meneruskan ziarah kasih sayang dan menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas buat warga yang ditimpa berbagai ujian kehidupan bermula di Kampung Sanggang Seberang, Bintang, Teluk Ira, Temerloh, kelmarin.

Menerusi hantaran di laman sosialnya, beliau berkata aktiviti ziarah pada hari itu berakhir dengan menghantar sebuah katil wakaf untuk kegunaan seorang pesakit terlantar di Kampung Desa Murni Songsang.

Menurutnya, menziarahi warga yang ditimpa ujian kehidupan pastinya akan menimbulkan keinsafan apabila menyaksikan sendiri berbagai ujian kehidupan daripada ujian penyakit kronik, kemiskinan dan masalah-masalah kehidupan seharian yang lain.

“Ada yang terlantar akibat sakit kronik dan tiada sumber pendapatan tetap begitu juga ibu tunggal yang membesarkan anak yang ramai yang masih bersekolah ditambah pula dengan ujian penyakit pastinya menginsafkan kita,” ujarnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang.

Katanya, ada kalangan mereka telah dibantu oleh pihak-pihak berwajib seperti zakat daripada Majlis Ugama Islam Pahang dan Jabatan Kebajikan Masyarakat, namun bagi menjalani kehidupan harian dengan keperluan sara hidup dengan kos barangan keperluan asas yang tinggi dan belanja persekolahan anak-anak, sering kali mereka dihimpit masalah perbelanjaan untuk meneruskan kehidupan.

Justeru, ujar beliau, golongan yang diberi kelebihan rezeki oleh Allah SWT sewajarnya mengambil cakna terhadap mereka yang diuji itu walaupun mereka tidak meminta.

“Terima kasih kepada para dermawan yang sudi menyalurkan sumbangan melalui kami untuk disampaikan kepada mereka yang sangat memerlukan.

“Teruskan sumbangan anda untuk kami sampaikan kepada golongan yang memerlukan yang berada di sekeliling kita,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 12/8/2024

- Advertisement -