
TEHRAN: Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) berkata pada hari Jumaat bahawa unit tentera lautnya mempunyai peluru berpandu jelajah baharu yang dilengkapi dengan kepala peledak yang tidak dapat atau kalis daripada dikesan.
Pengumuman oleh organisasi keselamatan paling berkuasa di negara itu bertepatan dengan kebimbangan perang Timur Tengah yang hebat selepas Iran berikrar untuk membalas dendam pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh di Tehran pada 31 Julai lepas.
Iran telah menyalahkan Israel, manakala Israel tidak mengesahkan mahupun menafikan penglibatannya.
Komander tertinggi IRGC, Mejar Jeneral Hossein Salami berkata, “Dalam dunia hari ini, sama ada anda perlu kuat untuk bertahan, atau menyerah kalah. Tiada jalan tengah.”
Menurutnya, sebilangan besar peluru berpandu jelajah telah ditambah ke dalam armada tentera laut IRGC.
“Peluru berpandu baharu ini mempunyai keupayaan kepala peledak yang tidak dapat dikesan dan boleh menyebabkan kerosakan yang meluas dan menenggelamkan sasaran mereka,” katanya.
Beliau juga berkata, pelbagai jenis sistem peluru berpandu jarak jauh dan sederhana, serta dron peninjau dan radar tentera laut, telah ditambah kepada armadanya.
“Sistem ini adalah antara senjata anti-permukaan dan bawah-permukaan yang paling terkini dalam tentera laut IRGC,” katanya.
Sehubungan itu, siaran televisyen Iran memaparkan beberapa senjata berkenaan pada hari ini, Jumaat (9 Ogos).
Unit tentera laut IRGC dalam kenyataan pula berkata bahawa hanya 210 daripada 2,654 sistem ditunjukkan kerana tidak mungkin untuk mendedahkan sistem strategik lain atas sebab keselamatan.
Iran mempunyai salah satu program peluru berpandu terbesar di Timur Tengah, menyebabkan ia sebagai penghalang penting dan kuasa balas terhadap Amerika Syarikat dan Israel sekiranya berlaku perang.
Menurut Pejabat Pengarah Perisikan Kebangsaan AS, Iran memiliki kelengkapan militari dengan bilangan peluru berpandu balistik terbesar di rantau ini. -Agensi/– HARAKAHDAILY 9/8/2024




















