
RIYADH: Ribut petir dijangka akan melanda Makkah dan beberapa wilayah lain di Arab Saudi dari hari ini, Jumaat (9 Ogos) hingga Selasa (13 Ogos) ini.
Direktorat Am Pertahanan Awam Saudi dalam kenyataannya, menggesa orang ramai supaya berhati-hati dan menjaga keselamatan mereka berikutan ramalan cuaca hujan.
Ia menyeru mereka untuk tinggal di tempat yang selamat dan mengelakkan tempat-tempat di mana air deras, paya air dan kawasan lembah.
Pihak direktorat juga meminta orang ramai supaya tidak berenang di kawasan tersebut kerana ia tidak sesuai dan mendatangkan bahaya besar kepada keselamatan manusia, lapor Saudi Press Agency (SPA).
Direktorat itu menekankan bahawa orang ramai harus mematuhi arahan yang diberikan melalui pelbagai saluran media dan platform rangkaian sosial.
“Banyak kawasan di wilayah Makkah akan terjejas oleh hujan sederhana yang membawa kepada hujan lebat, hujan batu dan ribut debu pada tempoh berkenaan.
“Ia termasuk Taif, Maysan, Adham, Al-Kamil dan Al-Ardiyat manakala hujan ringan hingga sederhana dijangka dialami di Ibu Kota Suci, Al-Kamil, Al-Jumum, Qunfudhah, Allaith, Al-Khurmah, Turbah, Raniyah dan Al -Mawiyah,” ujar kenyataan itu.
Direktorat memberi amaran bahawa Al-Aflaj, Hotah Bani Tamim, Al-Kharj, Wadi Al-Dawasir dan Al-Sulayyil di wilayah Riyadh juga akan terjejas oleh hujan ringan hingga sederhana dan ribut pasir pada tempoh berkenaan.
“Wilayah Asir, Al-Baha dan Jazan akan terjejas oleh hujan sederhana hingga lebat manakala wilayah Madinah, Najran dan Wilayah Timur akan mengalami hujan ringan hingga sederhana,” katanya. -Agensi/– HARAKAHDAILY 9/8/2024




















