Isu pembukaan Klinik Kesihatan Bukit Sentosa 

Mohd Hasnizan Harun
- Advertisement -

HULU SELANGOR: Isu pembukaan Klinik Kesihatan di Bukit Sentosa berkali-kali sudah dibawa Ahli Parlimen Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun dalam perbahasan.

Hasnizan berkata, perkara itu telah dibawa ke Kamar Khas Parlimen yang melibatkan beliau sendiri, Speaker dan Timbalan Menteri Kesihatan.

- Advertisement -

Beliau telah menyerahkan memorandum rakyat yang mahukan Klinik Kesihatan Bukit Sentosa disegerakan.

“Jawapan yang diberi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ambil maklum akan perkara ini dan akan masukkan dalam senarai pembangunan namun keutamaan akan diberi kepada kawasan yang lebih utama.

“Perkara ini bukan saya sahaja yang bawa malah mantan Ahli Parlimen, June Leow Hsiad Hui lebih awal memohon klinik ini, saya ambil tindakan susulan apa yang telah dimohon sebelumnya,” katanya dalam media sosial miliknya.

Berkaitan hospital menurut Hasnizan, perkara itu juga telah dibawa ke dalam Kamar Khas Parlimen untuk menempatkan doktor pakar dalam bidang tertentu di Hospital Kuala Kubu Bharu (KKB) bagi mengurangkan masalah warga di sini terpaksa mendapatkan rawatan doktor pakar di Hospital Selayang dan juga Sungai Buloh. 

“Jawapan daripada Menteri akan diambil perhatian dan sedang dalam proses ke arah itu.

“Semoga Allah permudahkan segala urusan kita semua khususnya rakyat Hulu Selangor,” kata beliau.

Sebelum ini menurutnya, beliau sering menerima keluhan daripada rakyat di sini khususnya di sekitar Serendah, Sungai Choh, Bukit Beruntung atau Bukit Sentosa, Sungai Buaya atas kepadatan di Klinik Kesihatan Serendah.

Antara keluhan tersebut menurutnya, ‘YB klinik Serendah terlalu ramai orang…’, ‘YB buatlah sesuatu…’, ‘YB mohonlah klinik kesihatan di Bukit Beruntung…’, dan ada juga ‘YB mohon satu hospital di Bukit Beruntung jauh sangat nak hantar ke Sungai Buloh ke Selayang...’

“Saya bersimpati dengan keluhan tersebut. Saya juga salah seorang yang akan hadir setiap enam bulan untuk pemeriksaan. 

“Saya juga akan mengikut prosedur yang ditetapkan bermula pendaftaran ambil nombor, periksa tekanan darah atau periksa gula dalam darah, tunggu pemeriksaan doktor, temujanji akan datang dan ambil ubat.

“Cumanya saya tidak pernah melihat situasi seperti digambarkan. Pemakluman yang saya terima ketika itu pintu klinik belum dibuka, orang ramai dah mula beratur. 

“Saya yakin pihak pengurusan klinik telah ambil maklum akan perkara ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/8/2024

- Advertisement -