PAS-PN pilihan masa depan rakyat

- Advertisement -

PAS hari ini muncul sebagai satu-satu parti politik dengan bilangan kerusi parlimen terbanyak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, iaitu 43. Ini diikuti dengan DAP, 40 dan PKR 31. Ini merupakan pencapaian terbaik PAS dalam sejarah sejak penubuhannya lebih 70 tahun dulu.

PAS juga melalui Perikatan Nasional (PN), iaitu kerjasama politik bersama Parti Bersatu dan Gerakan menguasai empat buah negeri, iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Ini juga satu rekod.

- Advertisement -

Dari sebuah parti yang hanya mampu menang sebuah kerusi dalam Pilihan Raya Persekutuan yang pertama tahun 1955 iaitu di Kerian Perak, hari ini PAS telah melebarkan penguasaannya meliputi semua kawasan parlimen di Semenanjung termasuk beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak.

Malah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun 2020, seorang wakil PAS iaitu Dr Ali Akbar Ghulasan telah dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Pencapaian PAS sebagai sebuah parti arus perdana terbesar negara hari ini adalah hasil pengorbanan dan kerja kuat pimpinan serta anggotanya yang istiqamah berdekad-dekad lama, sehingga PAS hari ini menjadi jurucakap utama umat Melayu Islam dalam negara dengan menggantikan Umno yang hanya mampu bertaut dengan 26 kerusi parlimen.

Apabila kualiti kepimpinan yang dipamerkan pimpinan Umno merosot pada pandangan rakyat, apabila berlaku ketempangan dan kepincangan dalam pentadbiran dan pengurusan negara serta partinya sendiri rakyat, khasnya umat Melayu Islam yang merupakan penduduk majoriti dalam negara tanpa ragu-ragu telah bertukar selera, menolak Umno dan memilih serta mengangkat calon-calon PAS dan PN untuk mewakili mereka.

Ini paling ketara apabila dalam PRU15, tsunami besar politik melanda negara sehingga berlaku “hung parliament” (parlimen tergantung). Hanya apabila berlaku gabungan politik antara PH dan BN, barulah terbentuk kerajaan, itu pun sehingga ke hari ini masing-masing masih curiga mencurigai antara sesama sendiri.

Kepimpinan Umno dicurigai ahlinya sendiri kerana bekerjasama dengan PH yang didominasi DAP.

PAS bersama PN yang menjuarai politik penyatuan ummah, dilihat mendapat sokongan dan kepercayaan majoriti umat Melayu, dan malah terakhir dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap sudah terdapat tanda-tanda masyarakat bukan Melayu pun sudah mula berani menyokong PN, khasnya kalangan anak-anak muda.

Benarkah parti berbilang kaum tidak lagi menarik perhatian rakyat, khasnya orang Melayu apabila dalam PRU15, angka-angka menunjukkan yang umat Melayu menolak PH dan BN, sebaliknya terang-terangan memilih PAS dan PN?

Menurut penganalisis politik, Joceline Tan dalam kolumnya di akhbar The Sunday Star (4 Ogos 2024), menurut trend yang ada terutama dengan sentimen semasa pengundi Melayu, PAS punya potensi membentuk kerajaan pada masa hadapan.

Kesimpulannya, menghadapi kemelut dan situasi semasa, rakyat khasnya umat Melayu Islam lebih selesa dengan PAS dan PN serta cukup yakin masa depan negara akan lebih terjamin dan baik buat mereka kiranya PAS dan PN memegang teraju.
Rakyat tidak lagi boleh meraikan pemimpin yang mungkiri janji, yang gagal dan tidak berusaha menyatupadukan ummah.

Diskriminasi terhadap wakil-wakil PN khasnya dengan menafikan peruntukan Ahli Parlimen dan menafikan dana ke negeri-negeri pembangkang akan tambah menyemarakkan kebencian rakyat khasnya umat Melayu kepada PHBN.

Dalam PRK Parlimen Kuala Terengganu, Kemaman dan DUN Sungai Bakap, isyarat lantang dan jelas telah diberikan rakyat. Mungkinkah PRK DUN Nenggiri nanti akan memuktamadkan hayat mereka, sekurang-kurangnya Umno? – HARAKAHDAILY 9/8/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -