
KUALA LUMPUR: Perkhidmatan awam wujud untuk berkhidmat kepada rakyat, maka pemimpin badan eksekutif bertanggungjawab memastikan peneraju dalam perkhidmatan awam benar-benar memenuhi kepentingan rakyat dan negara.
Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, Perlembagaan menetapkan bahawa lantikan jawatan utama dalam perkhidmatan awam dibuat oleh institusi beraja, atas nasihat pemimpin badan eksekutif.
Felo Penyelidik (Undang-undang) Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia itu menjelaskan, jika nasihat tidak bertentangan dengan kepentingan rakyat, maka tiada sebab untuk institusi istana menolaknya.
“Jika kemudiannya rakyat mendapati individu yang dilantik itu gagal memenuhi fungsinya, maka kegagalan itu adalah kegagalan pemimpin badan eksekutif yang memberi nasihat, bukannya kesalahan institusi beraja. Demikianlah proses demokrasi berjalan.
“Jika kegagalan itu terlalu ketara, maka rakyat mungkin menghukumnya menerusi peti undi.
“Sementara, institusi beraja kekal dihormati sebagai payung tanpa terpalit dengan kelemahan yang berlaku dalam lantikan-lantikan tersebut,” jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, ahli akademik tersebut menyatakan, Malaysia mengamalkan dua konsep penting iaitu Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, dalam tulisan yang dimuat naik di media sosial peribadinya, hari ini.
Menurutnya, dua konsep ini berjalan seiring di peringkat Persekutuan dan negeri, terutamanya di negeri-negeri Melayu, di mana ada negara di dunia ini yang mengamalkan monarki mutlak, tanpa institusi demokrasi, selain banyak juga negara demokrasi yang tiada monarki.
“Jadi, kedua-dua sistem ini boleh berjalan walaupun tanpa yang lain. Namun di Malaysia, kita kekalkan monarki yang telah bertapak sejak beratus tahun dahulu, dan kita menginstitusikan amalan demokrasi melalui Perlembagaan Persekutuan yang berkuatkuasa sejak 1957.
“Kedua-dua institusi ini berjalan menurut perimbangan yang ditentukan oleh garis Perlembagaan. Sejak merdeka hingga kini, kedua-duanya saling melengkapi dan diterima baik oleh rakyat.
“Walaupun ada beberapa perubahan dan krisis, termasuk yang berlaku pada 1983 dan 1993.
“Namun kedua-duanya berjalan dengan baik,” ujar beliau yang juga menegaskan bahawa golongan rakyat sebenarnya pengimbang kepada institusi beraja selaku tonggak konsep Raja Berperlembagaan dan pemimpin politik selaku tonggak konsep Demokrasi Berparlimen.
Pemimpin politik menurutnya, memang secara langsung berdepan dengan tindak balas rakyat melalui prestasi sokongan dalam pilihan raya, manakala institusi beraja pula perlu sentiasa peka dengan kehendak dan keprihatinan rakyat agar terus relevan dan dekat di hati rakyat.
Tambah beliau, institusi beraja diangkat kerana faktor sejarah, peradaban, kesetiaan, perpaduan, serta keperibadian yang prihatin, adil, dan mesra, selain diharap agar menjadi pengimbang dan payung bila rakyat memerlukan.
“Sementara, peranan institusi beraja dalam pemerintahan adalah sesuai dengan batas-batas yang termaktub dalam perlembagaan. Menghormati perlembagaan akan mendatangkan takzim dan setia.
“Pemimpin politik pula adalah institusi yang diberi peranan untuk menjaga negara dan rakyat melalui proses demokrasi. Mereka mewakili rakyat. Jika baik dan bagus, maka dikekalkan.
“Tapi jika buruk, lemah dan korup, maka rakyat boleh menggantikan dengan yang lain,” katanya mengingatkan bahawa kuasa pemimpin adalah amanah yang diberikan melalui ketetapan Perlembagaan.
Beliau justeru menyatakan, adalah menjadi tanggungjawab pemimpin untuk melaksanakan amanah itu sebaik-baiknya, tanpa mengabaikannya atau menyerahkan kepada pihak lain, sehingga membelakangkan kepentingan rakyat.
“Jentera perkhidmatan awam misalnya adalah salah satu tanggungjawab pemimpin badan eksekutif yang memegang amanah melalui proses demokrasi.
“Mereka dipilih oleh rakyat untuk menentukan hala tuju perkhidmatan awam, sama ada di peringkat negeri atau Persekutuan.
“Moga konsep demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan terus dapat berjalan dengan baik.
“Apa yang mendatangkan keamanan, keharmonian, keadilan serta kemakmuran untuk Malaysia yang tercinta ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/8/2024




















