Legasi 33 tahun PAS Kelantan

Tuan Guru Nik Abdul Aziz (tengah), Ahmad Yakob (kiri) dan Mohd Nassuruddin Daud.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Hanya orang Kelantan yang mengetahui dan merasai bermula dengan kepimpinan Allahyarham Tan Sri Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat (TGNA) daripada tahun 1990 sehingga 2013, PAS telah membina tapak asas bagi pentadbiran negeri ini.”

Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor, Zurk Ahmad berkata, dalam tempoh 23 tahun tersebut, pelbagai pembentukan dasar baharu telah dibuat sehingga masyhur disebut ‘Kelantan Menerajui Perubahan’. 

- Advertisement -

“Kita menyaksikan Kelantan menjadi negeri pertama yang membuat pemindahan akaun simpanan tetap kerajaan negeri daripada sistem perbankan riba kepada sistem perbankan Islam.

“Memperkenalkan dasar dan polisi perumahan dengan rumah tiga bilik. Menyelaraskan undang-undang dan peraturan negeri dengan prinsip-prinsip Islam.

“Melantik kaum Cina, India, Siam dan Orang Asli sebagai Ahli Majlis Kerajaan Tempatan serta lain-lain pembaharuan yang menjadi contoh buat negeri lainnya,” katanya  dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, setelah kukuh dan jelas tapak, pembinaan negeri ini disambung pula oleh kepimpinan Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Ahmad Yakob selama 10 tahun di mana dasar-dasar ditambah baik dan dikembangkan. 

“Projek-projek pembangunan diperbanyakkan dan pelbagai perancangan bersifat jangka masa panjang juga dibuat termasuk pembangunan wilayah, pembinaan lebuh raya dan lapangan terbang,” jelasnya.

Tambah Zurk, dalam masa sama, rekod pentadbiran bebas rasuah berjaya dikekalkan untuk tempoh 33 tahun ini.

“Elemen pendidikan dan pembinaan insan diperkasa. Keharmonian kaum dan agama juga tidak dapat disangkal. Kelantan terus kukuh dengan dasar-dasar Islam yang menjadi asas pentadbiran.

“Sehinggakan rakyat Kelantan juga istiqamah mempertahankan dasar Membangun Bersama Islam atas sebab keyakinan mereka terhadap sebuah pentadbiran bersih, stabil dan berintegriti,” katanya.

Di bawah kepimpinan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud pula katanya, bersama barisan kepimpinan Perikatan Nasional Kelantan sekarang yang mana kejayaan 33 tahun ini akan terus dilakar.

“Dengan kewibawaan pemimpin dan sokongan rakyat, perjalanan membangunkan negeri Cik Siti Wan Kembang tidak akan berhenti.

“Allahyarham TGNA pernah sebut, ‘Kita nak tadbir negeri ini sampai kiamat’. Insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/8/2024

- Advertisement -