
KOTA BHARU: PAS Kubang Kerian kehilangan seorang aktivis yang istiqamah bersama parti itu ketika berlaku pergolakan dalaman PAS sehingga lahir Parti Amanah Negara.
Mantan Setiausaha Majlis Tindakan DUN (MTD) Salor, Hassan Ibrahim meninggal dunia Ahad lepas selepas mengalami masalah kesihatan sejak dua tahun lalu.
Arwah merupakan individu penting bagi mempertahankan aset milik PAS Salor ketika berlaku krisis dalaman sebelum ini.
Allahyarham antara individu yang mempertahankan Wisma Tok Guru di Kampung Pendek Salor ketika menjadi rebutan antara PAS dan pemimpin Amanah, Husam Musa berlarutan sehingga ke mahkamah.
Ketika krisis berlaku, Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang beroperasi di wisma tersebut terpaksa berpindah ke premis lain.
Bagaimanapun, akhirnya mahkamah membuat keputusan Wisma Tok Guru kekal milik PAS dan sekarang menjadi Pusat Khidmat DUN Salor.
ADUN Salor, Saizol Ismail berkata, pemergian Abang Hassan merupakan kehilangan besar kepada PAS Kelantan dan Kubang Kerian.
Katanya, Dewan Undangan Negeri (DUN) Salor kehilangan seorang aktivis yang komited dengan perjuangan PAS ketika krisis dalaman berlaku sebelum ini.
“Almarhum merupakan tonggak utama yang mengembalikan imej dan maruah PAS ketika parti itu mengalami pergolakan dalaman 10 tahun lalu.
“Ketika itu sebahagian pemimpin PAS di Salor meninggalkan parti itu dan menyertai PAN yang menjadi pendukung kuat Pakatan Harapan,” ujarnya di sini. – HARAKAHDAILY 7/8/2024











