
BELUM seminggu syahidnya Ismail Haniyeh, HAMAS sudah mengumumkan penggantinya. ‘Komandan Perang Taufan Al Aqsa’ Yahya Sinwar dipilih menjawat jawatan nombor satu HAMAS itu.
Anggota pimpinan HAMAS, Usamah Hamdan berkata pemilihan Sinwar untuk jawatan Ketua Jawatankuasa Politik HAMAS dilakukan secara ‘ijmak’ iaitu kesepakatan bersama anggota jamaah tanpa sebarang bantahan.
Sinwar, atau nama sebenarnya Yahya Ibrahim Hasan Sinwar, dilahirkan pada 7 Oktober 1962 di Mukhayyam Khan Yunus, Selatan Gaza.
Lelaki kurus yang sebelum ini mengetuai HAMAS di wilayah Gaza, pernah dijatuhkan hukuman penjara 426 tahun atas pelbagai tuduhan yang direka.
Keluarganya berasal dari Majdal, Asqalan. Mereka terpaksa berpindah ke Gaza pada 1948 setelah pengganas Israel menjajah kawasan berkenaan dan menukar namanya kepada Ashkalon.
Beliau adalah graduan ijazah sarjana muda Pengajian Bahasa Arab di Universiti Islam Gaza (UIG).
Mendirikan rumahtangga dengan Samar Muhammad Abu Zamar, graduan sarjana Usuluddin universiti sama.
Aktif dalam Katlah Islamiyah, iaitu gerakan pelajar di bawah Ikhwanul Muslimin Palestin. Pernah diberi kepercayaan sebagai Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa UIG.
Penjara
Israel melihat anak muda ini berbahaya kepada mereka di masa akan datang. Justeru pada 1982, beliau ditangkap atas tuduhan terlibat dengan gerakan siswa.
Tuduhan yang benar. Namun kenapa ia menjadi satu kesalahan!
Selama 4 bulan merengkok di dalam lokap sebelum dibebaskan. Selepas seminggu, dia ditangkap semula. Lalu dipenjarakan selama 6 bulan tanpa bicara.
Pada 1985, Yahya dihukum penjara lagi selama lapan bulan.
Melihat betapa pentingnya mengorganisasikan gerakan menentang penjajah, Syeikh Ahmad Yasin mengamanahkan Yahya bersama Khalid Al Hindi menubuhkan Pertubuhan Jihad dan Dakwah, atau singkatannya Majd.
Ia berperanan mengesan perisik dan ejen-ejen Israel di kalangan orang Arab. Kumpulan ini juga dilihat sebagai persediaan ke arah tugasan penting setelah HAMAS ditubuhkan (1987).
Pada 20 Januari 1988, Yahya ditahan dan dihadapkan ke mahkamah dengan beberapa tuduhan berat. Mahkamah memutuskannya bersalah atas tuduhan menyertai kumpulan haram, menculik dan membunuh dua orang tentera dan 4 orang ejen Israel.
Dengan itu beliau dijatuhkan hukuman empat kali penjara seumur hayat ditambah dengan 30 tahun penjara. Menjadikan jumlah keseluruhan hukuman penjara 426 tahun!
Pelbagai tekanan dan penyeksaan terpaksa dilalui oleh beliau sepanjang berada dalam penjara. Yahya pernah dihalang dari diziarahi oleh ahli keluarga selama 18 tahun. Bapanya sendiri hanya pernah diizinkan menziarahinya dua kali dalam tempoh 13 tahun.
Usaha menuntut pembebasannya juga kerap dilakukan. Beliau pernah melakukan mogok lapar beberapa kali iaitu pada tahun 1992, 1996, 2000 dan 2004.
Beliau juga pernah melakukan cubaan melarikan diri dari penjara. Pertama di penjara Majdal dan kali kedua di penjara Ramallah.
Di penjara Majdal, Yahya mengorek dinding penjara menggunakan dawai dan gergaji kecil. Usaha berkenaan hampir membuahkan hasil. Namun ketika cuba menebuk lapisan paling luar, dinding berkenaan runtuh lalu terdedahlah rahsia berkenaan.
Sebagai hukuman, Yahya telah dikurung dalam sebuah bilik kurungan secara bersendirian selama 4 tahun.
Di penjara Ramallah, beliau sekali lagi berusaha untuk memboloskan dirinya dari penjara. Kali ini beliau memotong besi tingkap dan cuba melarikan diri menggunakan tali. Cubaan ini juga menemui kegagalan.
Ketika di dalam penjara, Yahya pernah beberapa kali ditimpa sakit. Beliau pernah sakit kepala, selesema dan demam panas berpanjangan tanpa sebarang rawatan. Banduan-banduan lain mendesak pihak penjara supaya memberikan rawatan.
Setelah dibuat pemeriksaan, didapati terdapat gumpalan darah beku dalam otaknya. Pembedahan dilakukan selama 7 jam untuk mengeluarkan darah beku berkenaan.
Yahya turut memanfaat tempoh lama berada dalam penjara untuk menulis beberapa buah buku.
Pembebasan
Kisah pembebasan Yahya Sinwar dan rakan-rakannya yang lain sangat menarik. Pada 25 Jun 2006, tiga kumpulan pejuang termasuk Kataib Al Qassam melancarkan operasi terhadap kem tentera Israel di Karam Abu Salim (Kerem Shalom) berhampiran sempadan Rafah.
Pejuang berjaya membunuh dua orang tentera dan mencederakan lima yang lain. Mereka turut menahan seorang tentera dikenali sebagai Gilad Shalit.
Penahanan Gilad Shalit menjadi isu yang menggemparkan dunia. Rundingan untuk membebaskan Shalit berlangsung dalam tempoh yang sangat lama.
Suatu ketika Israel bagaikan berputus asa dalam usaha mereka hendak membebaskan Shalit. Ini kerana pihak pejuang menuntut supaya rakyat Palestin yang dipenjarakan oleh Israel dibebaskan sebagai bayaran pembebasan Shalit.
Setelah 5 tahun menjadi tawanan, akhirnya Shalit dibebaskan setelah Israel bersetuju untuk membebaskan 1,027 orang rakyat Palestin yang kebanyakannya dipenjarakan tanpa sebarang kesalahan.
Seramai 450 daripada mereka ialah banduan yang telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hayat. Salah seorang dari mereka ialah Yahya Sinwar.
Yahya dibebaskan pada 18 Oktober 2011 setelah merengkok 23 tahun dalam tahanan penjajah.
Israel menyangka Yahya sudah ‘insaf’ dengan pemenjaraan lebih dua dekad itu. Disangkanya Yahya akan ‘duduk diam’ bagi mengelak ditangkap sekali lagi.
Rupanya tidak, Yahya semakin aktif berjuang untuk membebaskan tanah airnya dari penjajahan Zionis.
Pada 2012, Yahya terlibat dalam pemilihan pucuk pimpinan HAMAS dan terpilih sebagai anggota badan politik pergerakan itu yang setaraf dengan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
Cubaan bunuh
Kegiatan Yahya bukan sahaja diperhatikan oleh Israel, bahkan diikuti rapat oleh sekutu Israel, Amerika Syarikat. Pada 2015, Amerika menyenaraikan Yahya Sinwar, Muhammad Ad-Dhif dan Rauhi Musytaha sebagai pengganas antarabangsa.
Israel pula menyenaraikannya sebagai pemimpin yang perlu dibunuh. Untuk menghapuskan pemimpin ini, pada tahun 2012, serangan udara dilakukan terhadap rumahnya.
Beberapa serangan lagi dilakukan untuk membunuh Yahya pada 2014 dan 2021. Namun Yahya terselamat dalam setiap kali serangan.
Pada 2017, beliau diberi kepercayaan mengetuai HAMAS di wilayah Gaza menggantikan Ismail Haniyeh selama satu penggal (4 tahun).
Pemilihan 2021 menyaksikan Yahya terus diberi kepercayaan mengetuai HAMAS di Gaza. Sehinggalah memuncaknya operasi Taufan Al Aqsa, beliau dianggap tonggak utama kepada operasi berkenaan.
Rejim Zionis Israel menggelarkannya sebagai jurutera Taufan Al Aqsa kerana menganggapnya sebagai perancang utama serangan 7 Oktober ke atas Israel.
HAMAS tidak menganggap 7 Oktober sebagai permulaan penentangan terhadap penjajahan Israel. Bahkan pertembungan telahpun berlangsung sejak 76 tahun lalu apabila Israel menjajah Palestin tahun 1948.
Tekanan Israel terhadap warga Palestin khususnya berkaitan Masjidil Aqsa dilihat mendadak pada tahun 2023. Seringkali umat Islam dihalang dari memasuki Masjidil Aqsa. Bahkan tentera Israel menceroboh hingga ke dalam dewan solat memukul dan menangkap orang yang sedang bersembahyang.
Sepanjang tahun 2023, Israel telah memberi 250 kebenaran untuk pendatang Yahudi menceroboh Masjidil Aqsa dan melakukan ritual agama mereka di dalam kawasan Masjidil Aqsa.
Penceroboh bukan sekadar diberi kebenaran, bahkan dikawal ketat oleh polis Israel sepanjang berada dalam kawasan masjid berkenaan.
Maka serangan Al Qassam dan kumpulan pejuang lain terhadap kedudukan tentera penjajah di kawasan Ghilaf Gaza adalah suatu yang wajar. Ia bertujuan untuk mendesak Israel menghentikan segala bentuk penindasan.
Justeru Israel menggariskan nama Yahya Sinwar sebagai individu paling dikehendaki dalam konflik terkini.
Namun ia buntu untuk mengesan kedudukan Yahya. Akhbar utama Israel, Hareetz melaporkan sepanjang peperangan Taufan Al Aqsa, Yahya tidak pernah dilihat muncul di tempat awam.
Namun akhbar itu mendedahkan, beberapa orang tawanan Israel mendakwa mereka pernah bertemu dengan pemimpin itu semasa berada dalam tahanan pejuang Palestin.
Mereka mendakwa dilayan dengan baik, ditempatkan di tempat yang selamat dan Yahya berbual mesra dengan mereka menggunakan Bahasa Ibrani.
Beberapa kali Israel cuba memviralkan bahawa Yahya sudah mati. Namun, tiba-tiba Yahya muncul di khalayak ramai di Gaza menyebabkan Israel terpaksa memadam berita berkenaan.
Kini, sebaik sahaja Ismail Haniyeh dibunuh, HAMAS secara ‘ijmak’ menabalkan Yahya Sinwar sebagai pemimpin utama kumpulan jihad berkenaan.
USTAZ ARIS HAZLAN ISMAIL
Maran, Pahang – HARAKAHDAILY 7/8/2024











