‘Jika orang Nenggiri nampak ‘hantu’ DAP, mereka akan…’

Marzuki Mohamad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kenyataan bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (KJ) dalam slot Keluar Sekejap mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri amat menarik.

Bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Ke-8, Prof Madya Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata, perkara itu menarik berikutan KJ mengatakan Barisan Nasional (BN) boleh boleh menang dalam PRK ini atas dua sebab utama. 

- Advertisement -

“(Pertama kata KJ) Undi Orang Asli yang berpihak kepada BN; (dan keduanya) penyokong BN di Nenggiri tak keliru bahawa mengundi calon BN itu adalah undi kepada BN bukan undi kepada DAP.

“Ini bermakna, BN akan memaksimakan undi Orang Asli melalui Ops tertentu. KJ sebut Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Md Nor, yang berketurunan Orang Asli sedang berkampung di Gua Musang. 

“Bagi yang faham modus operandi Ops BN untuk Orang Asli ini fahamlah. Saya tak nak ulas,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Tambah Marzuki, kononnya penyokong BN di Nenggiri tidak keliru bahawa mengundi calon BN adalah undi kepada BN, bukan undi kepada DAP supaya boleh memenangi PRK tersebut.

Beliau menegaskan, itulah yang BN sedang cuba meyakinkan pengundi-pengundi mereka bahawa satu undi kepada BN bukan satu undi kepada DAP.

“Sebab itulah DAP dilarang turun berkempen di Nenggiri. BN tak mahu orang Nenggiri nampak kelibat DAP di Nenggiri. DAP ibarat hantu kepada BN.

“Jika orang Nenggiri nampak ‘hantu’ DAP ini, mereka akan takut untuk mengundi BN.

“Inilah yang terjadi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) dan siri Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini termasuk yang terbaharu di Sungai Bakap. 

“Ramai orang Umno sendiri yang sama ada tak keluar mengundi atau keluar mengundi tetapi mengundi PN. 

“Jika ini berlaku, maka PN akan menang bergaya di Nenggiri,” jelasnya.

Jadi, strategi BN katanya ialah untuk menyorokkan atau dalam bahasa orang Kelantan ‘susuk’ ‘hantu’DAP itu. 

Menurut Marzuki, ‘hantu’ DAP itu masih ada, tetapi disorokkan supaya pengundi PRK DUN Nenggiri tidak nampak keterlibatannya.

“Tapi sejauh mana ‘hantu’ DAP ini boleh di’susuk’ (disorok) oleh BN sehingga tak kelihatan oleh orang Nenggiri? 

“Kalau petua orang dulu-dulu macam mana nak nampak ‘hantu’ ni kena pusing belakang, tunduk dan tengok dari celah kangkang. Kalau nampak kakinya tak mencecah bumi, maka sahlah itu hantu.

“Maka, inilah yang mesti dibuat oleh pengundi-pengundi di Nenggiri. Kalau tengok berita TV3, RTM, Astro Awani atau baca berita Utusan Malaysia, Berita Harian, Harian Metro, Malaysiakini, FMT jangan baca dengan mata kasar. 

“Baca dengan mata hati. Barulah nampak ‘hantu’’ DAP yang berdiri dengan besar dan gahnya di belakang BN.

“Bukan setakat berdiri, malah tangan, kaki dan mulut BN itu dipegang dan dijerut oleh DAP,” tegasnya.

Dalam pada iu, beliau menyatakan, antara kejadian pelik diakibatkan oleh ‘hantu’ DAP itu ialah Presiden Umno sendiri mengingatkan ahli-ahli Umno bahawa Umno bukan lagi parti dominan.

Itu bermakna katanya, Umno bukan lagi sebuah parti yang kuat, yang mana ia tidak pernah berlaku dalam sejarah Umno bahawa Presidennya mengakui Umno sebuah parti yang lemah.

“Yang paling tak sedapnya kenyataan Presiden Umno ini betul. Inilah satu-satunya perkara yang saya bersetuju dengan Presiden Umno. 

“Kita sendiri dapat lihat Umno tidak lagi menguasai kerajaan dan menentukan dasar-dasar kerajaan. Yang berkuasa dalam kerajaan bukan Umno, tetapi DAP.

“Kalau dahulu, semua dasar kerajaan ditentukan oleh Umno. Malah dibincang dan dilulus dalam Perhimpunan Agung Umno dan kemudian menjadi dasar kerajaan. Tetapi hal ini tak berlaku sekarang.

“Kalaulah ini zaman dahulu, Tiger Beer takkan dapat masuk sekolah. Umno berdehem saja, semua parti lain senyap (atau orang Nenggiri kata ‘senyap ddik’). Maknanya tak berani angkat kepala pun,” kata beliau.

Beliau menjelaskan lagi, sekarang ini yang berdehem ialah DAP, dan Umno tiada pilihan melainkan akur dengan ‘deheman’ DAP.

“Inilah ‘hantu’ DAP yang mesti dapat dilihat oleh pengundi-pengundi Nenggiri terutamanya pengundi-pengundi Umno. 

“Umno yang mereka lihat hari ini bukanlah Umno yang mereka sokong dan bersetia sejak turun temurun dahulu.

“Jadi, carilah apa-apa petua sekalipun untuk dapat melihat ‘hantu’ DAP di belakang Umno ini.

“Maka, barulah pengundi-pengundi di Nenggiri boleh membuat pilihan yang tepat demi masa depan agama, bangsa dan tanah air,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/8/2024

- Advertisement -