
KANGAR: Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri Perlis telah meluluskan 12 pelaburan baharu dengan nilai sebanyak RM2 bilion sejak November 2022.
Katanya, pelaburan tersebut meliputi sektor pertanian, pembuatan, logistik, dan pelancongan, termasuk perkhidmatan sukan rekreasi pelancongan.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak tujuh syarikat telah diluluskan untuk pelaburan di Chuping Valley Industrial Area (CVIA) dengan nilai pelaburan sebanyak RM1.75 bilion.
“Pelaburan ini merangkumi sektor pembuatan dan perindustrian, serta sektor tenaga boleh diperbaharui (solar),” kata Mohd Shukri pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai jawapan kepada soalan yang diajukan oleh Saad Seman (PN-Chuping) mengenai jumlah pelabur telah diterima oleh Kerajaan Negeri Perlis sehingga kini.
Mohd Shukri menekankan bahawa kerajaan negeri tidak hanya melihat kepada jumlah pelaburan dalam bentuk ringgit, tetapi juga mempertimbangkan impak ekonomi yang lebih besar kepada masyarakat setempat.
“Aspek yang diambil kira termasuk pewujudan peluang pekerjaan, peluang perniagaan kecil hasil daripada permintaan tenaga kerja industri, serta peluang untuk mewujudkan pusat pertumbuhan baharu di negeri Perlis.
“(Iaitu) seperti kawasan kediaman, kawasan perniagaan, serta institusi awam bagi keperluan pendidikan, kesihatan, dan perkhidmatan kerajaan lain.
“Kerajaan Negeri amat optimis dan yakin akan menerima lebih banyak pelaburan baharu dalam tempoh tiga tahun ini melalui usaha dan kerjasama berterusan daripada agensi berkaitan.
“Serta sokongan daripada semua wakil rakyat dalam melaksanakan perubahan ekonomi negeri ini,” tambahnya lagi. – HARAKAHDAILY 7/8/2024











