
GUA MUSANG: Bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar kagum melihat kebolehan yang ada pada calon PERIKATAN NASIONAL (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri, Mohd Rizwadi Ismail.
Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau menumpang syukur dan bangga melihat calon PN terbabit mampu menjadi imam di masjid, mengetuai pengurusan jenazah dan menyampaikan kuliah agama.
Kata beliau perwatakan Rizwadi begitu sopan dan lemah lembut walau beliau seorang bekas anggota tentera.
“Beliau juga pandai bergaul dengan anak muda serta pandai menghormati orang tua. Kelebihan yang ada pada calon PN menjadi bualan masyarakat di DUN Nenggiri sejak dahulu lagi.
“Perkara yang paling besar calon PN menetap di DUN Nenggiri iaitu di Kampung Bertam.
“Saya mendoakan Ustaz Wadi diberi kepercayaan rakyat Nenggiri sebagai wakil rakyat muda yang boleh ditauladani,” katanya pada catatan di laman sosialnya.
Oleh itu kata beliau rakyat di DUN Nenggiri tidak akan kerugian memilih calon PN tersebut memandangkan ciri-ciri kepimpinan serta ilmu yang ada padanya boleh dimanfaaat penduduk.
Annuar yang juga Pengarah Operasi PRK berkata, kehadiran Rizwadi sebagai calon PN bagi mempertahankan DUN Nenggiri perlu mendapat dukungan penuh pengundi. – HARAKAHDAILY 7/8/2024











