
GUA MUSANG: Penduduk yang tinggal di atas tanah rizab kereta api dan rizab sungai di Bertam Lama teruja dengan usaha kerajaan negeri menyediakan penempatan baru bagi mereka.
Lebih menyeronokkan lagi tanah tersebut akan diberi geran milik dianggar bernilai RM50,000 setiap lot.
Seorang penduduk, Rohayati Awang, 57, berkata, berita baik yang diumumkan Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud baru-baru ini memberi sinar baru kepada penduduk yang terlibat.
Katanya penduduk yang tinggal di kawasan tersebut terpaksa berpindah ekoran projek pembinaan jalan baru dari Bertam Lama ke Jerik.
“Kami menerima notis dan mengosongkan kediaman masing-masing Mei lalu. Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang bagi notis suruh pindah.
“Dan selepas mendengar pengumuman Menteri Besar saya lega kerana akan diberi tanah yang ada geran, saya merakam ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya juga selepas berpindah daripada rumah lama beliau dan suami Othman Ibrahim serta anak-anak menyewa rumah berhampiran kediaman calon PN, Rizwadi Ismail di Bertam Lama.
Baru-baru ini Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, penduduk yang tinggal di atas tanah rizab kereta api di Bertam Lama akan mendapat lot rumah baru.
Menurutnya kerajaan negeri melalui Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang bersetuju memberi tanah bergeran dengan nilai RM50,000 setiap lot.
Rohayati juga berkata, suaminya sudah membayar deposit lot tanah tersebut di Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang baru-baru ini.
Bagaimanapun, kata beliau ada pihak mendakwa penduduk terpaksa membayar RM50,000 kepada kerajaan negeri bagi memilik tanah lot terbabit.
“Saya sebelum ini gusar hendak mencari duit sebanyak itu. Ramai penduduk faham begitu. Namun sebenarnya tanah diberi kerajaan negeri itu bernilai RM50,000,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/8/2024











