
KANGAR: Perlis mencatatkan kedatangan seramai 1.5 juta pengunjung sehingga Mei 2024, melalui pintu sempadan masuk negeri, menurut rekod Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Perlis (MOTAC).
Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Negeri, Wan Zikri Afthar Ishak berkata, kemajuan pembangunan negeri dalam kerangka pelancongan menekankan beberapa aspek utama, termasuk memperkukuhkan pintu masuk utama negeri dengan memastikan pembangunan fizikal kondusif, selesa, dan mampan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Abu Bakar Hamzah (PN-Kuala Perlis) mengenai tindakan kerajaan negeri untuk memperkemaskan sektor pelancongan bagi menarik lebih ramai pelancong ke Perlis di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.
“Kerajaan Negeri telah memperkenalkan produk ikon pelancongan baharu sebagai pemangkin kepada pembangunan pelancongan setempat, seperti produk kraftangan tempatan, makanan tradisi negeri, dan alunan muzik budaya tempatan.
“Produk-produk ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan pelancongan setempat,” katanya.
Beliau menambah bahawa kerajaan negeri yakin penganjuran acara pelancongan berskala besar seperti Pesta Angin Timur dan Pesta Air Tradisional Kuala Perlis akan membuka kunci kepada pembangunan pelancongan lestari yang mampu menarik lebih ramai pelancong setiap tahun.
“Penganjuran acara sebegini telah menunjukkan peningkatan pengunjung, dengan 376,269 orang direkodkan datang pada Pesta Angin Timur 2024.
“Selain itu, kerajaan negeri akan terus memperkukuhkan sektor pelancongan dengan membuat penambahbaikan dan mengatasi kelemahan yang ada, memberi fokus kepada elemen baharu yang menarik.
“(Juga) menaik taraf pusat pelancongan sedia ada, memperkukuhkan jaringan pelancongan, serta terus mempromosikan sektor pelancongan negeri di platform yang bersesuaian,” tambahnya lagi. – HARAKAHDAILY 7/8/2024











