
INI adalah kuasa Allah SWT. Bumi yang kering, apabila hujan turun, ia menjadi subur dan boleh menanam bermacam-macam jenis pokok. Walaupun tanah atau kebun yang sama, tetapi pokok lain-lain dan buah tidak serupa.
Pokok memilih nutrien yang sesuai dengan yang dikehendakinya. Dalam tanah, ada bermacam-macam jenis nutrisi, mineral, air dan sebagainya. Pokok memahami apa yang diperlukan.
Itu sebab pentingnya akar. Walaupun tidak belajar, tetapi tidak tertukar dalam memilih. Akar dengan sifat semulajadinya mencari keperluannya tersendiri.
Allah menarik perhatian kita dengan benda-benda di sekeliling kita.
وَفِىٓ أَنفُسِكُمْ ۚ أَفَلَا تُبْصِرُونَ
Maksudnya “Dalam kejadian kamu, tidakkah kamu memerhati?” (Surah az-Zaariyaat: 21)
مَن عَرَفَ نَفسَهُ عَرَفَ رَبَّهُ
Maksudnya “Siapa yang mengenal dirinya, dia akan mengenal Tuhannya.”
Kata ahli tasawuf, selagi kita tidak mengenal diri kita, kita tidak akan mengenal Allah sampai bila-bila. Oleh sebab itu, kita perlu mengenal diri kita terlebih dahulu.
Perlu tahu asal usul kejadian kita. tahu datang dari mana dan nak pergi ke mana. Kalau tidak, kita akan bersifat takabbur sampai mati. Merasakan diri hebat seperti duit banyak, gaji besar, jawatan besar, kereta besar, isteri ramai dan rumah besar. Jadi, akhirnya akan lupa diri. Cerita Si Tanggang menggambarkan orang yang lupa diri.
Sentiasa bersifat takabbur dengan manusia, apalagi dengan Allah. Contohnya, tidak menunaikan solat atau tidak mengeluarkan zakat. Apabila berjaya, menganggap ia adalah disebabkan oleh usahanya.
Menjadi kaya kerana kecerdikannya, melabur situ sini dan merancang itu ini. Dia sudah lupa kepada Allah. Allah jualah yang menentukan dia berjaya. Orang lain pun merancang juga, tetapi ada yang tidak berjaya kerana Allah tidak mengizinkannya.
Allah membangkitkan mengenai asal kejadian kita. kita asalnya hina kerana daripada setitis mani. Air mani ini jika dibuang ke atas tanah, ayam tidak mematuk dan itik tidak menyudu. Hinanya air mani kita. Tetapi daripadanya, ada yang menjadi Raja, Perdana Menteri, Menteri Besar dan wakil rakyat misalnya.
Oleh sebab itu, apabila kita tidak ingat asal usul, itu yang menjadi masalah. Ada duit banyak, sombong. Ada pangkat besar, tidak kenal orang lagi-lagi waris sendiri tidak dipedulikan. – HARAKAHDAILY 7/8/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.




















