Hamas lantik Yahya Sinwar ganti Ismail Haniyeh

Yahya Sinwar (tengah) di samping Allahyarham Ismail Haniyeh (kiri) di Gaza City pada 25 Mac 2017. (FOTO FAIL Reuters)
- Advertisement -

TEHRAN: Gerakan Perjuangan Islam Palestin, Hamas pada lewat Selasa (6 Ogos) telah menamakan Yahya Sinwar sebagai ketua kumpulan itu berikutan pembunuhan Ismail Haniyeh di Tehran pada 31 Julai lalu.

“Hamas mengumumkan pemilihan Komander Yahya Sinwar sebagai ketua biro politik pergerakan itu, menggantikan Komander Ismail Haniyeh yang syahid, semoga Allah merahmatinya,” ujar Hamas dalam satu kenyataan ringkas, lapor Al- Arabiya.

- Advertisement -

Sementara, AFP memetik seorang pegawai kanan Hamas sebagai berkata bahawa dengan memilih Sinwar sebagai ketua kumpulan itu, Hamas ‘menghantar mesej kuat kepada rejim Zionis Israel bahawa Hamas akan meneruskan penentangannya’.

Haniyeh, 62, mati syahid selepas terkena  peluru berpandu ‘secara langsung’ dalam serangan udara Israel yang dinafikan negara haram itu,  menyasarkan tempat penginapannya di sini, ketika dalam rangka melawat Iran untuk menghadiri majlis perasmian presiden baharu Iran, Masoud Pezeshkian.

Iran sehubungan itu dengan tegas mengumumkan bahawa ia akan membalas dendam terhadap Israel atas pembunuhan yang melanggar kedaulatan negara itu.

Justeru, pelantikan Sinwar, 61, diumumkan ketika Israel bersiap sedia untuk berdepan kemungkinan serangan dari Iran berikutan pembunuhan Haniyeh di Tehran.

Sinwar dianggap arkitek serangan paling dahsyat ke atas Israel dalam beberapa dekad yang bersembunyi di Semenanjung Gaza, menentang percubaan rejim untuk membunuhnya sejak permulaan perang  lagi.

Dilahirkan di kem pelarian di bandar selatan Gaza di Khan Younis, Sinwar, 61, dipilih sebagai ketua Hamas di Gaza pada 2017.

Beliau menyertai Hamas apabila Allahyarham Sheikh Ahmad Yassin mengasaskan kumpulan itu sekitar masa intifadah Palestin pertama bermula pada 1987.

Lulusan Universiti Islam di Gaza, Sinwar mempelajari bahasa Ibrani yang sempurna selama 23 tahun di penjara Israel dan dikatakan mempunyai pemahaman yang mendalam tentang budaya dan masyarakat Israel.

Terdahulu, beliau menjalani empat hukuman seumur hidup atas tuduhan membunuh dua askar Israel apabila dia menjadi yang pemimpin paling kanan Hamaas daripada 1,027 rakyat Palestin yang dibebaskan sebagai pertukaran untuk tentera Israel Gilad Shalit pada 2011.

Ketua jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari, menyalahkan Sinwar atas serangan 7 Oktober 2023 dan berkata, Israel akan terus memburunya.

Rumah Putih setakat ini enggan mengulas mengenai pelantikan Sinwar.

Sepuluh bulan sejak serangan mengejut Hamas pada awal pagi 7 Oktober 2023 itu, perang Hamas-Israel di Semenanjung Gaza telah mengubah Asia Barat dan pergolakan menjadi konflik serantau yang lebih luas.

Kementerian kesihatan di Gaza pada Selasa (6 Ogos) berkata serangan udara dan darat Israel yang dilancarkan sebagai tindak balas kepada serangan 7 Oktober 2023 tersebut telah mengorbankan sekurang-kurangnya 39,653 orang awam  di wilayah Palestin itu.

Dalam pada itu pegawai Hamas, Osama Hamdan memberitahu Al Jazeera bahawa pergerakan itu kekal komited untuk mencapai perjanjian dan pasukan yang mengendalikan rundingan di bawah Haniyeh akan diteruskan di bawah Sinwar, yang menurutnya sedang mengikuti rundingan itu dengan teliti.

Bagaimanapun penganalisis politik di Ramallah, Hanis Al-Masri berkata, pelantikan Sinwar untuk mengetuai Hamas secara keseluruhan adalah satu cabaran langsung kepada Israel. -Agensi/– HARAKAHDAILY 7/8/2024

- Advertisement -