Guan Eng, Anthony Loke terus angkuh: Kerajaan membisu

Afnan (kiri), Anthony Loke (tengah) dan Guang Eng.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Tindakan Kerajaan Pakatan Harapan (PH)- Barisan Nasional (BN) berdiam dan membisu terhadap kenyataan pemimpin DAP, Antony Loke dan Lim Guan Eng (LGE) terhadap isu pendanaan syarikat arak kepada sekolah Cina amat mengecewakan.”

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, sudah lima hari berlalu selepas kenyataan Anthony Loke membenarkan pendanaan sekolah Cina daripada syarikat arak yang secara tidak langsung menentang keputusan kabinet.

- Advertisement -

“Amat mengecewakan apabila melihat nilaian pemimpin negara sebegini yang terus bongkak mempertahankan pendanaan syarikat arak di sekolah-sekolah. 

“Kekecewaan ini turut dizahirkan kepada pihak kerajaan yang telah diam membisu setelah bersuara sekali sahaja. 

“Hilang taring yang sebelum ini begitu garang menghentam pihak pembangkang setiap detik dan masa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Setar berkata, isu pendanaan syarikat arak di sekolah-sekolah itu bukannya sengaja dipolemikkan dan dijadikan kontroversi seperti dakwaan Anthony Loke dan Lim Guan Eng, namun ia terkait dengan undang-undang, sekali gus mencerminkan integriti kepimpinan Menteri. 

Terdahulu, media tempatan melaporkan bahawa Kabinet telah mengekalkan pekeliling melarang mana-mana sekolah, termasuklah sekolah Cina dan India menerima sebarang tajaan daripada mana-mana syarikat arak, rokok, dan perjudian. 

Tambah Afnan, penegasan itu tiada erti kepada pimpinan DAP apabila mereka memanipulasi keputusan dengan meneruskan pendanaan daripada syarikat arak tanpa pameran logo. 

“Disusuli warkah kekecewaan Lim Guan Eng yang mempersoal ehsan akan kekurangan dana di sekolah Cina, adakah kalian cuba bermain naratif sebagai mangsa?

“Kalian ingin orang awam memahami bahawa isunya sekarang adalah pada kelangsungan sekolah Cina yang kekurangan dana. 

“Maka, pendanaan daripada syarikat arak antara alternatif utama yang memberi nyawa kepada sekolah-sekolah ini setelah berpuluh tahun lamanya.

“Bukankah keadaan ini membuktikan bahawa hilangnya integriti pemimpin apabila sanggup menerima apa sahaja, biarpun melibatkan mudarat anak bangsa?

“Bahkan, bagaimana syarikat-syarikat ini mampu untuk mendanai sekolah-sekolah dengan sejumlah wang yang besar berpuluh tahun lamanya andai perniagaan mereka tidak mendapat sambutan dan keuntungan luar biasa?

“Bukankah tindakan Menteri ini secara tidak langsung menghalalkan syarikat ini merosakkan anak bangsa demi kelangsungan dana?

“Ataupun sebenarnya pemimpin-pemimpin DAP ini sedang menyusun strategi untuk dilihat terdesak dan mengharapkan bantuan tambahan untuk sekolah jenis cina sehingga melanggar hak yang sepatutnya,” soal Afnan.

Biar apapun niat mereka kata Afnan, keadaan kini telah membuktikan keangkuhan dan hilangnya integriti mereka sebagai seorang pemimpin yang patuh pada undang-undang, dasar dan polisi di Malaysia.

Perkara itu menurutnya, sepatutnya membuka mata semua rakyat Bumiputera yang masih mempercayai dan menyokong perjuangan DAP untuk menguntungkan mereka. 

“Jangan sampai sudah terhantuk, baru tengadah. Oleh itu, jangan salahkan pihak-pihak yang menghentam kerana hentaman dan kecaman itu ada asasnya.

“Hentaman ini akan terus berlaku selagi mana kerajaan diam seribu bahasa dek takut dengan ‘dehem abang besar’ yang semakin besar kepala,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/8/2024

- Advertisement -