
KUALA LUMPUR: “Selangor masih tidak selesai dengan isu pencemaran kilang. Isu yang acap kali disuarakan rakyat dan dibangkitkan oleh wakil rakyat.”
Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad berkata demikian susulan wujud kes terbaharu berlaku di Sungai Kuang, Rawang seperti yang dilaporkan oleh akhbar The Star, pada 4 Ogos 2024.
Hasil pemeriksaan mendapati punca pencemaran bau adalah akibat kebocoran bahan kimia dikenali sebagai Poly Metha Acrylic Acid (PMAA) daripada tangki penstoran yang merupakan produk yang dihasilkan oleh premis tersebut berbentuk cecair.
Beliau berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) terpaksa memberhentikan operasi di loji rawatan air Sungai Selangor dan Rantau Panjang.
“Jika keadaan berterusan dan bahan buangan masih mengalir menyebabkan bekalan air di Lembah Klang akan terjejas.
“Makluman dari produk tempatan, kilang tersebut diharamkan beroperasi di negara mereka disebabkan akan menyumbang bahaya kepada alam sekitar.
“Kerja terlarang itu terpaksa dibuat di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Zurk, kerajaan di negara ini telah memberi keizinan operasi kilang tersebut berjalan. Maka, barang yang diproses dan produk yang dihasilkan oleh kilang itu akan dihantar semula ke negara tersebut.
Hasilnya, negara terus berdepan masalah mengawal dan rakyat terpaksa menanggung akibat daripada pencemaran yang berlaku.
“Masih banyak kilang seperti ini yang dibiarkan beroperasi walaupun membawa mudarat besar kepada negara.
“Tahun lepas, sebuah kilang pengeluar hasil nadir bumi iaitu Lynas dibenarkan meneruskan operasi.
“Sedangkan PH berjanji dalam kempen sebelum PRU mereka akan menghentikan operasi kilang Lynas,” ujarnya.
Namun kata Zurk, kerajaan PH-BN telah melanjutkan lesen operasi Lynas bahkan melonggarkan syarat sedia ada.
“Bila waktunya berjanji, semuanya nampak pasti dan meyakinkan. Bila menang, terbukti sikap hipokrit dan pembohong mereka kepada rakyat.
“Apa yang pasti, PH sentiasa memungkiri janji.
“Kerajaan tidak tegas, gagal dan tidak pernah serius menjaga kelestarian alam sekitar terutamanya kerajaan PH di Selangor,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/8/2024











