
TANJONG KARANG: Semua warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Burong diajak untuk terus berwaspada dan menjaga keselamatan diri serta keluarga dalam menghadapi situasi banjir kilat yang melanda sejak semalam (4 Ogos).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burong, Dr Mohd Zamri Mohd Zainuldin berkata, pihaknya akan terus berusaha memastikan bantuan disalurkan dan keadaan kembali pulih secepat mungkin.
“Sebagai langkah segera, saya telah mengambil inisiatif untuk menyediakan bekalan makanan tengah hari kepada mangsa-mangsa banjir yang terlibat.
“Saya juga sempat berbincang dengan pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Ezman untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai usaha mengurangkan impak banjir.
“Pihak JPS sedang berusaha keras mengepam air dan membuka kunci air untuk memastikan air banjir dapat mengalir ke sungai dengan lebih cepat,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial miliknya hari ini.
Menurut beliau, hujan lebat luar jangka telah berlaku semalam (4 Ogos) sehingga banjir kilat melanda beberapa kawasan di sekitar DUN Sungai Burong.
Keadaan ini tambahnya, turut diperburukkan dengan pertembungan air hujan yang melimpah dengan air pasang, menyebabkan air naik dengan pantas.
“Pagi ini, saya telah turun padang untuk meronda sekitar kawasan terjejas dan berjumpa dengan mangsa-mangsa banjir.
“Ada antara mereka yang terpaksa berpindah sementara ke rumah saudara-mara kerana rumah mereka dinaiki air.
“Hati saya amat tersentuh apabila bertemu dengan beberapa pesakit terlantar yang turut terkesan dengan banjir ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/8/2024











