
KOTA BHARU: Pemain KDN FC III hilang tumpuan menyebabkan mereka tumpas 3-4 kepada Penang FC III pada saingan Piala Presiden 2024 di laman sendiri, petang kelmarin.
Jurulatihnya, Mohd Zaki Mat Hussin @ Harun, berkata, jelas menunjukkan pemain gagal mengawal tekanan, menyaksikan pasukan pelawat berjaya bangkit dan menjaringkan gol kemenangan pada pernghujung permainan.
“Pemain hilang tumpuan terutamanya ketika sedang mendahului saingan. Ini disebabkan disiplin pemain ketika bertahan menyaksikan skuad lawan menekan dan memberi tekanan sekali gus melakar dua jaringan pantas pada saat akhir,” katanya selepas perlawanan.
Menurutnya, faktor kesilapan individu juga penyumbang kekalahan KDN FC III, namun beliau tidak menyalahkan mereka seratus peratus kerana ia biasa terjadi dalam bola sepak.
Mengulas lanjut, Mohd Zaki berkata, KDN FC III ada tempoh masa tiga hari untuk membetulkan kesilapan serta menambah baik pasukannya bagi menghadapi perlawanan terakhir peringkat liga.
Tambahnya, walau sudah layak, pihak pengurusan dan kejurulatihan berharap skuad bawah 20 tahun Sang Kijang Emas menamatkan saingan kumpulan B dengan keputusan positif. – HARAKAHDAILY 5/8/2024











