Dia boleh cipta semula yang sudah mati

- Advertisement -

ALLAH menceritakan kepada manusia mengenai kehidupan semula di akhirat. Orang kafir secara umumnya tidak percaya dengan hari akhirat dan kehidupan semula pada hari akhirat tersebut.

Bagi orang Barat yang berpegang dengan fahaman materialism atau kebendaan, kehidupan adalah cuma setakat di dunia. Mereka digelar sebagai Ad-Dahriyyun iaitu orang yang hanya percaya kepada masa.

- Advertisement -

Mereka berkata:

وَقَالُواْ مَا هِىَ إِلَّا حَيَاتُنَا ٱلدُّنْيَا نَمُوتُ وَنَحْيَا وَمَا يُهْلِكُنَآ إِلَّا ٱلدَّهْرُ
Maksudnya “Kami tidak akan musnah kecuali bila sampai masa dan kami tidak akan bangkit semula.” (Surah al-Jaathiyah: 24)

Allah menjawab, jika mereka berasa ragu dengan kebangkitan atau kehidupan selepas mati, sepatutnya mereka melihat kejadian mereka sendiri. Allah menciptakan manusia yang asalnya daripada tanah.

Ada tubuh, kepala, tangan dan kaki. Anggota yang cukup lengkap. Saiz kita dengan Nabi Adam tidak sama. Dalam kitab menyebut, tinggi Nabi Adam ialah 60 hasta. (Rujuk Riwayat Al-Bukhari: 3336 dan Muslim: 7092). Sesuailah, orang pada masa itu besar sebab tidak ramai. Dunia luas, tetapi orang tidak ramai.

Kita anak cucu Nabi Adam diciptakan daripada setitis mani. Kejadian kita diibaratkan dengan satu per sejuta dari benih yang berjaya disenyawakan.

Allah menyimpan kita dalam kandungan selama sembilan bulan. Kemudian, barulah kita dilahirkan sebagai bayi. Ada yang meninggal setelah lahir. Ada juga yang diberikan umur yang panjang sehingga sangat tua.

Sekiranya Allah boleh menciptakan kita daripada tiada dan melalui satu demi satu proses sehingga dilahirkan, takkanlah Allah tidak boleh menghidupkan kita semula? Kita asalnya tiada dan entah datang dari mana.

Duduk di alam roh. Tiada nama. Tiba-tiba, Allah boleh menciptakan kita sehingga boleh hidup mengecapi kenikmatan dunia. Jadi, takkanlah setelah mati, Allah tidak boleh menghidupkan kita semula?

Yang menjadi payah adalah ketika nak mencipta yang awal. Jika sudah ada contoh, pelan, ‘blueprint’ atau ‘copy’, senanglah nak mencipta semula.

Allah nak kata, yang asal Dia boleh cipta, jadi tidak susah untuk Dia mencipta semula yang sudah mati. Inilah hujah secara logik yang Dia gunakan. – HARAKAHDAILY 5/8/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -