
KUALA LUMPUR: Makin ramai wanita yang takut untuk berkahwin kerana bimbang tersalah pilih suami gara-gara membaca portal kes suami yang menghumban isterinya ke dalam gaung, baru-baru ini
Pengerusi Lajnah Pembangunan Insan dan Keluarga Dewan Muslimat PAS Pusat, Asmak Husin, akui bahawa ramai kaum wanita yang masih bujang memberi tanggapan sebegitu dalam ruangan komen di media sosial.
“Pada hemat sederhana saya, ketakutan untuk kaum wanita membuat pilihan yang salah itu sangatlah difahami, tapi perlu ingat bahawa bukan semua perkahwinan berakhir dengan kegagalan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, pada Sabtu.
Oleh demikian, beliau yang juga Pendakwah Wanita dan Keluarga, turut memberi tiga nasihat kepada wanita di luar sana yang berasa bimbang jika tersalah pilih jodoh kerana setiap perkahwinan itu unik.
Katanya, beliau tidak mahu pengalaman perkahwinan orang lain merampas kebahagiaan yang mungkin ada dalam takdir wanita maka fokus kepada membina hubungan yang diinginkan.
“Seterusnya, belajarlah dari pengalaman orang lain, bukan larikan diri daripada takdir jodoh sebab banyak lagi kisah pernikahan bahagia yang boleh betulkan pemikiran kaum wanita terhadap perkahwinan.
“Elakkan dari membaca atau ambil tahu kisah rumah tangga yang toksik. Wanita kena ingat, jalan menuju pernikahan ini memerlukan keberanian untuk ambil risiko,” katanya.
Beliau yang juga mantan Ahli Dewan Negara Kelantan, berkata kaum wanita yang ingin mendirikan rumah tangga tetapi bimbang dengan kes kekasaran seorang suami perlulah berusaha, berdoa dan tawakal kepada Allah SWT.
“Istikharah kepada Allah dan istisyarah dengan ahli keluarga dan kenalan. Percayalah, Allah tidak akan meninggalkan hamba-Nya yang berusaha mencari kebahagiaan dengan jalan yang diredhai-Nya,” katanya.
Terdahulu, media tempatan melaporkan bahawa seorang lelaki ditahan polis selepas dipercayai cuba membunuh dengan menolak isterinya hingga jatuh gaung di Kilometer 31.2 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, Perak, pada Sabtu lalu (27 Julai).
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood, berkata maklumat kejadian diterima jam 2 petang pada hari sama melalui panggilan telefon oleh orang awam yang memaklumkan penemuan mangsa iaitu seorang wanita berusia 32 tahun keseorangan dan cedera di kawasan itu.
Siasatan awal mendapati suspek berusia 39 tahun yang juga suami mangsa membawanya dari ibu kota menuju Perak atas alasan mahu pulang ke kampung kira-kira jam 5. 30 petang Jumaat lalu (26 Julai).
Bagaimanapun, sepanjang perjalanan mereka bertengkar sehingga mangsa dikasari dan diugut bunuh oleh suaminya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh. – HARAKAHDAILY 4/8/2024




















