Mampukah Umno menongkah gelombang kebangkitan ummah di Nenggiri?

Calon Perikatan Nasional Pilihan Raya Kecil Nenggiri, Kelantan, Mohd Rizwadi Ismail.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri sebagaimana di DUN Sungai Bakap baru-baru ini akan menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 17 Ogos nanti dalam keadaan serba sugul.

Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, ia berikutan isu kenaikan kos hidup terus menghimpit kehidupan rakyat serta pengundi, yang termasuklah kenaikan harga diesel. 

- Advertisement -

“Nenggiri, sebagai sebuah kawasan majoriti Melayu juga akan membuka peluang buat rakyat memberikan isyarat pemimpin Melayu Islam jenis manakah yang mahu mereka pilih untuk mewakili mereka. 

“Walau duduk (tinggal)  di Gua Musang, mereka tahu dan ikuti perkembangan politik semasa dan sebagaimana rakyat Melayu Islam lain, mereka juga mahukan pemimpin yang berkualiti, bertaqwa, berintegriti dan tidak mengkhianati mandat rakyat untuk naik sebagai wakil mereka,” katanya dalam satu kenyataan di media sosialnya, hari ini.

Terdahulu, media tempatan melaporkan penamaan calon bagi PRK DUN Nenggiri, Kelantan telah ditetapkan pada 3 Ogos, manakala hari mengundi pada 17 Ogos. 

Berdasarkan sentimen semasa menurut Roslan, rakyat pengundi di DUN Nenggiri tersebut dijangka akan bersama saudara mereka yang lain di Parlimen Kuala Terengganu, Kemaman, DUN Sungai Bakap iaitu kekal memilih PN-PAS dalam PRK di kawasan masing-masing demi nasib dan masa depan yang lebih terjamin dan bermakna.

“PRK ini dijangka melihatkan pertembungan dua penjuru antara calon Perikatan Nasional (PN) yang menggunakan logo PAS menghadapi cabaran calon Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) yang diwakili Umno yang pastinya mahu mengguna logo ‘dacing‘. (Apa pun keputusan muktamad akan diketahui selepas selesai proses penamaan calon nanti).

“Kukuh bertapak di Gua Musang, DUN Nenggiri ini memang merupakan kubu atau benteng terakhir Umno di Kelantan sejak zaman berzaman. Dibayangi Parlimen Gua Musang yang diwakili ‘Pendekar Terakhir Umno Kelantan’, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li,” ujar beliau 

Menurutnya, ramai tidak menyedari bahawa dalam Pilihan Raya Parlimen dan Negeri ke-15 baru-baru ini, yang mana sejarah tercipta apabila Ku Li yang mewakili Parlimen tersebut hampir 50 tahun.

“Iaitu 11 penggal berturut-turut (dahulunya Parlimen Ulu Kelantan sejak 1986 menjadi Gua Musang) telah dikalahkan dan begitu juga DUN Nenggiri berjaya dirampas.

“Ada penganalisa yang mengatakan bahawa nyawa Umno di Kelantan terletak pada Ku Li…selagi Ku Li bertahan, hiduplah Umno di Kelantan, ini barangkali kerana mengambil kira kukuhnya dominasi beliau di kawasan ini. 

“Namun ‘gelombang kebangkitan ummah’ iaitu kesedaran politik umat Melayu Islam yang melanda bumi Semenanjung pada Pilihan Raya Umum (PRU) Parlimen ke-15 diikuti Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Kelantan, langsung tidak bersimpati termasuklah pada Ku Li,” hujah beliau.

Tambah Roslan Shahir, Umno kini gagal walau 1 kerusi Parlimen di Kelantan termasuklah Gua Musang dan di DUN, namun Umno cuma mampu menang 1 kerusi iaitu di Galas yang menjadikan PRU15 merupakan PRU paling teruk buat Umno Kelantan.

“Kini, kerusi DUN Nenggiri kosong, dan rakyat pengundi di sini akan menentukan kembali siapakah wakil yang berhak mewakili mereka setelah wakil yang dahulunya menang atas tiket PAS (mewakili PN) telah memilih menyokong PH-BN. 

“Tentunya para pengundi kecewa dan marah dengan sikap bekas ADUN mereka yang tidak menghargai mandat yang rakyat telah diputuskan,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/8/2024

- Advertisement -