
TEHRAN: Tidak lama selepas Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei menjanjikan hukuman keras untuk Israel sebagai tindakan balas terhadap pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh di Tehran semalam, bendera simbolik merah telah dikibarkan di atas masjid utama di kota suci Qom.
Bendera merah yang melambangkan ‘dendam’ itu kali terakhir dinaikkan di atas kubah Masjid Jamkaran pada 3 Januari 2020, berikutan kematian Qasem Soleimani, dan sekali lagi pada 5 Januari 2024 selepas pengeboman bandar Kerman, lapor Zee News.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Khamenei, beliau berkata, adalah menjadi kewajipan Iran untuk membalas dendam atas pembunuhan Haniyeh, yang berada di ibu negaranya untuk pelantikan Presiden, Masoud Pezeshkian.
“Rejim Zionis yang merupakan penjenayah dan pengganas telah membunuh tetamu kesayangan kami di rumah kami dan membuat kami berduka. Ia juga menyediakan tanah untuk hukuman yang keras bagi dirinya sendiri,” katanya.
Pembunuhan Ismail Haniyeh semalam telah mendapat kecaman meluas daripada negara-negara di seluruh dunia, termasuk Rusia, yang telah menyelar pembunuhan itu sebagai tindakan yang berbahaya dan provokatif.
Jurucakap Kementerian Luar Rusia, Andrei Nastasin memberi amaran bahawa pembunuhan itu akan membawa kesan yang teruk kepada seluruh wilayah, menjejaskan usaha untuk merundingkan gencatan senjata antara Hamas dan Zionis Israel.
Beliau turut menggesa semua pihak untuk menahan diri dan mengelakkan tindakan yang boleh memburukkan lagi ketegangan dan memberi amaran terhadap konflik yang berpotensi mendatangkan kemusnahan. -Agensi/– HARAKAHDAILY 1/8/2024











