‘Kenapa kerajaan, Anthony Loke nak bubarkan MAVCOM?’

Wan Ahmad Fayhsal ketika muncul dalam program Bicara Hd.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Kenapa kerajaan pada hari ini, kenapa Menteri DAP, Anthony Loke nak bubarkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) sebelum tamatnya penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) yang dikuasai syarikat pro-Israel, BlackRock Inc. (BlackRock)?”

Itu persoalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sambil meminta pihak kerajaan untuk menangguh dahulu penjualan saham kepada GIP; dan menyerahkannya kepada jawatankuasa pilihan khas untuk diteliti segala terma dan syarat.

“Kita percaya orang dalam MAVCOM adalah orang-orang yang baik dan pakar yang akan memberikan keadilan kepada rakyat Malaysia. Jadi, bila disegerakan pembubaran ini dan digabungkan MAVCOM dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), 

- Advertisement -

“…maka,dalam Rang Undang-undang (RUU) Pindaan Akta 788, ada satu klausa yang dipinda berkenaan kuasa menteri. Sebelum pindaan, menteri hanya boleh memberikan pindaan bersifat umum untuk Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) buat kerja.

“Tapi bila dah dipinda, dah digugurkan perkataan bersifat umum tersebut. Maka kesan daripada pengguguran ini, menteri ada kuasa mutlak, menteri ada kuasa besar, yang boleh ‘bypass’ (melangkaui) lembaga pengarah CAAM,” katanya.

Beliau berkata demikian di program Bicara Hd bertajuk, ‘BlackRock: Malapetaka Durjana Buat Rakyat Malaysia?’ semalam yang boleh ditonton secara dalam talian menerusi laman media sosial Harakahdaily.

Tambah beliau, apabila pindaan dan pengguguran itu dilakukan, menteri ada kuasa penuh untuk menentukan kontrak-kontrak untuk memberi tender dan projek dalam MAHB, malah boleh membuat apa sahaja terhadap lapangan terbang di Malaysia.

“Ini yang kita bimbang, sebab itu kita tak nak benda ini dibuat kerana ianya menunjukkan tatakelola yang lemah. Itu yang kita bantah, ada asas kita minta tangguh dulu dan jangan beri kuasa yang besar kepada menteri kerana kita khuatir perkara buruk boleh berlaku,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/8/2024

- Advertisement -