SUKMA 2024: Kelantan usaha tingkat percapaian

Zamakhshari Muhamad
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan berhasrat untuk mencapai sekurang-kurangnya di tempat ke-10 daripada 15 pasukan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang akan berlangsung pada Ogos ini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, pencapaian rekod yang diperolehi oleh kontinjen Kelantan pada tahun 2018 di tempat ke-14.

“Rekod yang sama diulang pada SUKMA tahun 2022, juga ditangga ke 14,” katanya ketika dihubungi.

Oleh itu, tambahnya, Kelantan perlu mengubah kedudukan sekurang-kurangnya di tangga ke-10 pada SUKMA 2024 berbanding sebelumnya.

Bagi mencapai sasaran itu, beliau memberitahu kontinjen Kelantan perlu menggandakan latihan dan memperbaiki strategi.

Katanya, dua hari lepas beliau ada bertemu dengan pihak Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan untuk bertanya khabar tentang persiapan ke SUKMA nanti.

Beliau bersyukur hasil sesi pembentangan kontinjen menunjukkan mereka telah memberi komitmen yang tinggi terhadap tanggungjawab masing-masing.

“Kita juga mendapat maklumat dari pengurus pasukan, sasaran pingat yang kita bakal capai melalui setiap pasukan dalam acara yang diambil oleh kontinjen negeri,” katanya lagi.

Beliau turut memberi peringatan supaya kontinjen mengambil peluang sebaik-baiknya melalui tempoh yang masih berbaki sebelum tiba tarikh temasya itu.

Jelas Zamakhshari, selebihnya berserah pada Allah setelah berusaha dan berdoa.

SUKMA XXI Sarawak 2024 akan diadakan di Sarawak pada 17 hingga 24 Ogos ini. – HARAKAHDAILY 1/8/2024

- Advertisement -