
TELUK INTAN: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim didesak agar membatalkan serta-merta segala usaha penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada syarikat Global Infrastructure Partner-Blackrock yang terkait Zionis-Israel.
Ketua Pemuda PAS KawasanTeluk Intan, Nurhafizul Badrul Hisham berkata, tindakan itu sebagai bukti solidariti mengutuk kekejaman terbaru regim Israel yang membunuh pimpinan utama HAMAS, Ismail Haniyeh dalam satu serangan di Iran, semalam.
“Anwar Ibrahim bukan sahaja Perdana Menteri Malaysia tetapi beliau juga Menteri Kewangan serta Pengerusi Khazanah Berhad dan mempunyai kedudukan paling strategik untuk membatalkan segala urusniaga tersebut.
“Apatah lagi membabitkan hubungan langsung dengan sebuah syarikat yang menyediakan senjata serta peluru membunuh umat Islam termasuklah as-Syahid Ismail Haniyeh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kematian Ismail Haniyeh tambahnya, bukan sahaja berita sedih buat seluruh pejuang pembebasan bumi Palestin, sebaliknya perlu mendapat pembelaan.
“Apatah ia adalah perbuatan teroris, terkutuk dan pengecut yang sememangnya merupakan DNA (genetik) asli Zionis-Israel yang dilaknat Allah,” tegasnya lagi.
Mengulas lanjut, ujar Nurhafizul, segala usaha untuk meneruskan kerjasama atau usahaniaga dengan GIP-Blackrock adalah satu tindakan jijik dan tidak berperikemanusiaan.
Kerajaan PH-BN itu juga diingatkannya agar tidak menjadi bacul dan boneka Yahudi Zionis, lebih-lebih melibatkan aset kekayaan dan keselamatan sempadan udara negara sebagai taruhan melalui urusniaga yang dilakukan dengan GIP ini.
“Oleh itu hentikan serta merta penjualan saham MAHB kepada GIP atau hadapi kemarahan rakyat yang akan membunuh ‘karier politik’ kamu (Anwar) buat selama-lamanya,” tegas beliau. – HARAKAHDAILY 1/8/2024











