
KUALA LUMPUR: Pendirian PAS dalam isu keterlibatan syarikat arak adalah melihat bahawa proses normalisasi arak kepada anak-anak, khususnya dalam kalangan pelajar sekolah adalah sebagai sesuatu yang tidak sihat.
Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Hafez Sabri berkata, proses normalisasi ini mempunyai kesan jangka panjang yang buruk terhadap generasi masa depan.
“Pandangan PAS ini selari dengan garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang juga menjadi pendirian banyak negara lain di luar sana, antaranya Australia,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, pentadbiran sekolah vernakular juga perlu menjaga sensitiviti pelajar Melayu dan ibu-bapa kerana ramai ibu bapa masa kini memilih sekolah vernakular untuk anak-anaknya bagi menguasai Bahasa Mandarin.
Namun begitu, ujarnya lagi, PAS tidak berniat menghalang sekolah vernakular menerima dana luar dalam program-program sumbangan amal, dan PAS mencadangkan agar sumber alternatif diusahakan bagi menampung keperluan dana institusi pendidikan negara.
“PAS ambil maklum bahawa program sumbangan amal sekolah di sekolah-sekolah vernakular sudah berlaku berpuluh-puluh tahun.
“Namun, ia tidaklah bermakna bahawa kita perlu teruskan budaya ini,” hujahnya.
Sehubungan dengan itu, Hafez menegaskan bahawa tidak sewajarnya syarikat arak dipublisiti dalam program sekolah tersebut, samada ia berlangsung dalam atau luar kompaun sekolah.
“Proses membuat perubahan memang akan mengambil masa, namun apa yang lebih penting adalah prinsip asas kepada isu ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/7/2024




















