
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan arahan kepada sebuah syarikat aiskrim tempatan, Inside Scoop untuk memberhentikan penjualan terhadap menu aiskrim terbaharunya yang berperisa ubat batuk Pei Pa Kao (Cap Ibu dan anak).
Arahan yang dikeluarkan itu susulan daripada semakan KKM dalam Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) terhadap aktiviti penjualan produk tersebut yang ditularkan dan mendapati bahawa ais krim tersebut disediakan bersama picagari yang berisi ubat batuk Pei Pa Koa.
KKM dalam kenyataannya berkata, ubat batuk tersebut adalah produk yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, KKM, di bawah kategori Tradisional yang pendaftarannya bernombor MAL06061564T.
“Ubat batuk yang dikategorikan tradisional itu, digunakan untuk melegakan sakit tekak dan batuk yang mana kontraindikasi bagi wanita hamil seperti yang dinyatakan pada label,” ujar kenyataan itu.
Selain itu, tambah kenyataan tersebut, penyediaan atau penjualan apa-apa makanan yang diadukkan di bawah seksyen 13B (2), Akta Makanan 1983 adalah tidak dibenarkan. Sekiranya disabitkan kesalahan, ia boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Sementara itu, KKM juga mengingatkan kepada pihak industri makanan supaya bertanggungjawab untuk memastikan semua produk makanan yang dijual mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya walaupun bagi tujuan untuk pemasaran dan melariskan jualan.
“Semua premis yang menjalankan aktiviti penjualan produk aiskrim yang dicampur ubat batuk tradisional Pei Pa Koa (Cap Ibu dan Anak) agar menghentikan serta-merta penjualan produk itu bagi keselamatan pengguna.
“Semua media pengiklanan termasuk platform e-dagang dan media sosial agar menghentikan penyiaran iklan makanan berkenaan,” ujarnya.
Dengan itu, pihak KKM menasihati orang ramai agar lebih peka dengan isu keselamatan makanan dan perlu sentiasa berhati-hati dalam membeli makanan yang mungkin diaduk dengan bahan yang tidak sesuai atau tidak selamat dimakan.
Sehubungan dengan itu, KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna.
“Sekiranya pengguna boleh menghubungi mana-mana Pejabat kesihatan Daerah, Jabatan kesihatan Negeri terdekat atau melayari laman sesawang sistem Pengurusan aduan Awam (SISPAA) serta Facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKMM),” jelas kenyataan itu.
Walau bagaimanapun, Inside Scoop telah mengeluarkan satu kenyataan di Facebook rasminya berkata, pelanggan yang memesan ais krim perisa itu secara dalam talian boleh meminta pemulangan semula wang.
“Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul,” katanya. HARAKAHDAILY 31/7/2024




















