Pesawah tanggung sumber air pada musim kemarau

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pembinaan Rumah Pam Kemubu 3 (KADA) bagi mengatasi masalah kekurangan sumber air terpaksa ditanggung oleh pesawah ketika musim kemarau.

- Advertisement -

Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, kerajaan perlu menyelesaikan perkara itu secara holistik terutama dalam isu bekalan air dan sistem pengairan yang sememangnya bermasalah sejak lama yang akan menjejaskan pengeluaran padi di Kelantan.

“Kita mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pihak kerajaan di atas usaha membelanjakan lebih daripada RM20 juta untuk pembinaan rumah pam ini.

“Adakah kementerian membuat satu langkah sokongan yang efisien mempunyai perancangan untuk pembinaan kolam takungan berskala kecil di beberapa tempat di kawasan pengairan KADA?

“Kawasan pengairan KADA khususnya di kawasan Bachok, Pasir Puteh dan Kota Bharu yang paling terjejas akibat daripada kegagalan sistem pengairan,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata kementeriannya mengambil kira bahawa terdapat keperluan mendesak untuk menyelesaikan isu air di kawasan KADA bagi memastikan bekalan padi adalah mencukupi pada masa akan datang.

“Kita telah melaksanakan beberapa langkah penyelesaian dalam jangka pendek, sederhana dan panjang untuk penyelesaian.

“Kementerian sedang dalam permohonan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk pelaksanaan operasi pembenihan awan fasa kedua,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/7/2024

- Advertisement -