PAS seru adakan solat ghaib, hajat 3 Ogos ini

Takiyuddin Hassan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “PAS menyeru seluruh umat Islam agar mengadakan solat ghaib dan diikuti solat hajat serta qunut nazilah pada 3 Ogos ini sempena Hari Solidariti Rakyat Palestin yang terus diserang dan yang masih ditahan di penjara-penjara Israel.”

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata demikian susulan tragedi pembunuhan Ketua Biro Politik, Ismail Haniyeh di Tehran, Iran  pada awal hari ini, Rabu (31 Julai).

- Advertisement -

Menurutnya, tindakan Israel yang disifatkan sebagai ‘pengecut’ itu  dikaitkan dengan pembunuhan  kematian pemimpin kanan Hamas, dan  seorang pengawal peribadinya.

“PAS beranggapan insiden ganas ini berkait rapat dengan ketegangan yang berlaku di Timur Tengah, terutamanya genosid berterusan di Gaza yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel dan peranan Haniyeh sebagai pemimpin utama yang mengetuai penentangan terhadapnya.” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Ahli Parlimen Kota Bharu itu juga berkata, pembunuhan ini berkait dengan peningkatan konfrontasi yang berlaku antara Israel dan Hizbullah di Lebanon dan tekanan meluas yang dihadapi oleh rejim berkenaan dan pemimpinnya daripada komuniti dunia.

“Ini termasuklah daripada PBB dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) susulan tindak-tanduk rejim berkenaan yang melampaui batas undang-undang Antarabangsa dan kemanusiaan, terutamanya di Gaza,” katanya.

Sehubungan itu, dengan perkembangan terbaharu ini, ujar beliau, besar kemungkinan konflik yang berlaku akan merebak lebih meluas ke seluruh rantau terbabit dan semua usaha ke arah penyuraiannya akan menempuh jalan sukar. 

“Rejim Zionis Israel mesti dihukum bertanggungjawab di atas seluruh siri-siri kekejaman yang menghancurkan keamanan dunia ini.” ujarnya.

Dalam pada itu, menurut Takiyuddin PAS mengucapkan takziah kepada keluarga kedua-dua  yang mati syahid tersebut, sekali gus merakamkan sokongan serta solidariti penuh dengan rakyat Palestin dan umat Islam di wilayah terbabit dalam perjuangan sah mereka menentang pencerobohan dan penjajahan Israel dan sekutunya sejak sekian lama. – HARAKAHDAILY 31/7/2024

- Advertisement -