Tajaan arak: Anthony Loke pangku tugas Menteri Pendidikan?

Shahidan (kiri), Anthony Loke dan Fadhlina.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook disindir memangku tugas Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek apabila menjawab isu berkaitan sumbangan arak di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) baru-baru ini.

Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Shahidan Kassim berkata, ia juga menunjukkan kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH)- Barisan Nasional (BN) disifatkan sebagai ‘flip-flop’ atau bertukar-tukar.

- Advertisement -

“Namun, yang paling penting sekarang ni ialah siapa Menteri Pendidikan? 

“Menteri Pendidikan cakap sekali diam. Takut ke apa ataupun terpaksa dengar orang lain cakap. 

“Kamu nak bentuk rakyat Malaysia ni nak bagi pecah belah ke nak bersatu padu? Itu soalannya. 

“Kalau nak bersatu padu dia kena mesti melalui sistem bersama, bukan berlainan, kemudian dari segi sumbangan, kena samalah,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat berkata, bahawa pengecualian kebenaran sumbangan arak kepada sekolah vernakular tersebut tidak pernah didengarinya.

“Saya pakai pandangan kenyataan menteri. Tapi sekarang ni menteri tak cakap, diam. Yang jawab ialah Menteri Pengangkutan,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata, dalam perjuangan untuk membentuk rakyat Malaysia yang bersatu padu, kerajaan perlu berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Saya marah sekarang ni ialah Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dia keluar kenyataan peraturan Kementerian Pendidikan untuk semua lah. 

“Mana ada cerita (peraturan) sekolah vernakular berlainan daripada sekolah kebangsaan.

“Yang kita kena ingat sistem pendidikan yang ada sekarang ni sistem yang asas utamanya ialah sistem pendidikan kebangsaan.

“Dia tak boleh berlainan. Kalau tidak sekarang ni kita nak bentuk rakyat Malaysia macam mana? Dengan dua sistem pendidikan,” jelas beliau.

Menurutnya, kerajaan sepatutnya menyelaraskan peraturan sama ada di sekolah kebangsaan atau vernakular mengenai arak, judi serta rokok. 

“Kita tak boleh kata kalau sekolah kebangsaan tak boleh, sekolah vernakular boleh. 

“Namun, jangan lupa di sekolah vernakular juga ada orang Islam yang belajar di sana,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/7/2024

- Advertisement -