Kutukan keras terhadap pembunuhan Ismail Haniyeh

Ahmad Yahaya (kanan) dan Allahyarham Ismail Haniyeh.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Ulama PAS Pusat mengutuk sekerasnya pembunuhan yang dilakukan terhadap Ketua Biro Politik Pasukan Pejuang Hamas, Syeikh Ismail Haniyeh dan pengawal peribadi beliau di Tehran hari ini.

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Dato’ Ahmad Yahaya berkata, perkara itu terutama Israel yang menjadi dalang kepada jenayah perang Gaza dan dunia pastinya berduka serta warna hitam kutukan dunia pastinya tertumpu kepada Israel.

- Advertisement -

“Syahidnya As-Syeikh Ismail Haniyeh pastinya tidak akan menghentikan perjuangan pembebasan Palestin. 

“Berita ini pastinya mengejutkan seluruh umat Islam yang cintakan kebebasan Palestin.

“Sunnahnya akan ramai lagi pejuang yang akan bangkit melawan kekejaman Zionis Israel.

“Justeru, saya merakamkan ucapan takziah bukan sahaja kepada keluarga Syeikh dan Hamas tetapi seluruh umat Islam yang cintakan kebebasan Palestin,” ujar beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkongsi surah, Ali ‘Imran ayat 169 yang bermaksud, “Dan jangan sekali-kali kamu menyangka orang yang terbunuh (gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki” . – HARAKAHDAILY 31/7/2024

- Advertisement -