
KUALA LUMPUR: Bermatlamat mengelakkan kereta ‘sangkut’ tengah lorong, seorang pekerja tol berkongsi sudut paling sesuai untuk memasang tag Lorong Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).
Isu mengenai RFID yang sering kali menjadi bualan orang ramai atau netizen kesal apabila kereta pengguna yang melalui tol, sistem tersebut dipercayai tidak berfungsi.
Oleh kerana itu, satu hantaran Facebook yang dikongsi oleh Solihin Razali menerangkan cara yang betul untuk memasang tag RFID pada kereta bagi memudahkan sistem mengesan isyaratnya.
“Apabila saya pasang tag macam ni, dah tak pernah sangkut lagi dekat tol, paling seronok palang boleh buka awal ketika saya masuk lorong. Puas hati!” katanya.
Menurutnya, kebiasaan pengguna akan memasang tag RFID pada cermin hadapan kereta tetapi sebenarnya cara itu kurang efektif kerana kereta perlu dirapatkan ke palang baru ianya akan berfungsi.
Tambahan pula, perkongsian petua pemasangan RFID ini adalah atas perkongsian seorang pekerja tol.
“Mereka cadangkan saya meletakkan tag RFID itu bersebelahan dengan nombor plat kereta sebab ia boleh mengesan RFID di pelbagai sudut.
“Pekerja tol buat ujian depan saya gunakan alat RFID, memang berbunyi sepanjang masa, maksudnya isyarat tag RFID tu senang ditangkap.
“Berbanding kalau kita pasang pada lampu kereta seperti kebanyakan pengguna RFID buat, ia lebih susah nak kesan isyaratnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/7/2024




















