Hasil tuaian tak munasabah: Peneroka Felda Jerangau minta adakan siasatan

- Advertisement -

DUNGUN: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) diminta turun melakukan siasatan dalaman berhubung masalah kekurangan hasil yang sangat ketara kepada peneroka dan generasi kedua Felda Jerangau.

Anak generasi Felda, Naraza Muda berkata, maklumat terkini dari peneroka dan anak generasi mengadu hasil yang diperolehi dari lot-lot mereka tidak munasabah setiap bulan.

- Advertisement -

“Terkini salah satu Blok di Tanah Rancangan Felda Jerangau Terengganu, peneroka mendakwa hanya memperoleh 1.35 metrik tan bagi keluasan lot mereka seluas lapan ekar yang diuruskan oleh FPM bagi bulan ini. Mereka mendakwa tidak munasabah bagi pokok yang berusia 5 tahun. 

“Jumlah ini adalah hasil daripada 27 metrik tan keseluruhan blok ini seramai 20 orang dan seluas 160 ekar. Amalan di sini hasil tuaian akan dibahagi sama rata antara ahli blok hasil selama sebulan.

“Isu ini berlarutan sudah sekian lama, bayangkan berapa pendapatan yang mereka dapat, jika tidak sampai 2 tan sebulan. Sudah tentu nanti tiada baki kerana pendapatan ini akan ditolak dengan kos operasi dan lain-lain kos,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut kata beliau, lebih menghairankan lot-lot berhampiran yang seusia dengan mereka, yang memiliki keluasan sama tetapi diurus sendiri oleh anak-anak peneroka jauh lebih banyak hasilnya berbanding dengan lot diurus oleh pihak Felda dan FPM.

“Mereka mendakwa ada lot-lot diurus sendiri mencecah paling kurang 7 hingga 10 metrik tan sebulan. Apalagi musim sekarang bukan musim melawas bagi sawit pokok usia ini. 

“Selama ini mereka boleh sabar dan menerima alasan jika keseluruhan purata bagi semua kawasan ini mendapat hasil rendah.

“Namun apabila ada lot-lot lain melebihi hasil mereka, sangat jauh perbezaannya, isu ini mulai timbul keraguan dan lebih malang pihak pengurusan gagal memberi jawapan yang menyakinkan dengan bukti-bukti yang peneroka boleh menerimanya,” katanya.

Oleh itu, kata beliau, adalah sangat wajar pihak atasan Felda, khasnya pihak ibu pejabat untukturun membuat siasatan dalaman berhubung masalah kekurangan hasil yang sangat ketara ini. 

“Peneroka juga mendakwa mereka dikreditkan kos membaja mengikut jadual setiap pusingan. 

“Lebih pelik lagi ada anak-anak peneroka mendakwa buah muda dan mekar bersusun di atas pokok, namun apabila tiba hasil tuaian hasil sangat rendah dan tidak munasabah,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/7/2024

- Advertisement -