
KUALA LUMPUR: “Saya hanya ingin menggesa kerajaan supaya Rang Undang-Undang (RUU) Pembubaran Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) ditangguhkan terlebih dahulu.”
Itu penegasan Ketua Armada Bersatu Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang menyatakan MAVCOM merupakan badan yang bertanggungjawab dalam segala urusan transaksi yang berkaitan dengan syarikat Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB).
“Ini termasuklah mengenai isu Global Infrastructure Partners (GIP) milik BlackRock yang sememangnya kita menentang kehadiran syarikat tersebut untuk melabur dalam MAHB ini,” katanya.
Beliau menyatakan demikian dalam sidang media Tolak BlackRock dan Selamatkan Malaysia di hadapan pintu masuk Bangunan Parlimen, di sini hari ini.
Turut hadir ialah seorang aktivis Palestin, Mythreyar Mutturamalinggam dan Senator Datuk Razali Idris.
Menurut Fahysal lagi, Persidangan Parlimen Dewan Negara pada hari ini akan mempunyai perbahasan mengenai Pindaan RUU Pembubaran MAVCOM.
Tambah beliau, dalam pindaan RUU tersebut pada kali ini Menteri Pengangkutan boleh memberi arahan kepada pihak berkuasa yang bukan lagi bersifat umum.
“Dalam Akta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia 2017 (Akta 788) sebelum ini, Menteri Pengangkutan hanya boleh memberi arahan kepada pihak berkuasa yang bersifat umum selaras dengan peruntukan undang-undang penerbangan awam yang berhubungan dengan pelaksanaan fungsi yang mana kuasa pihak berkuasa hendaklah melaksanakan arahan tersebut.
“Namun, pindaan pada hari ini pula perkataan arahan umum telah dibuang dan ini membolehkan Menteri Pengangkutan mempunyai kuasa mutlak untuk memberi segala arahan kepada pihak berkuasa.
“Ini menyebabkan MAVCOM tidak lagi boleh melakukan sebarang verifikasi terhadap segala perjanjian dan urusan yang berkaitan dengan MAHB itu sendiri.
“Maka, ini memudahkan untuk syarikat BlackRock untuk melabur sebahagian saham MAHB dan kita tidak mahu perkara sebegitu untuk berlaku dalam negara ini,” jelasnya.
Terdahulu, di bawah pelan yang diumumkan kerajaan, GIP yang dimiliki BlackRock dilaporkan akan memegang sebanyak 30 peratus kepentingan dalam konsortium untuk menguruskan MAHB, bersama dana pelaburan kerajaan Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ; yang mana kedua-dua entiti di bawah bidang kuasa kementerian kewangan yang diketuai oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
MAHB merupakan pemegang konsesi utama untuk lapangan terbang di Malaysia, dengan 39 lapangan terbang di seluruh negara di bawah pengurusannya.
MAHB turut memiliki satu lapangan terbang di Eropah iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (ISGIA) yang berpangkalan di Turki.
Sehubungan itu, Wan Ahmad Fayhsal mempersoalkan sama ada kerajaan Turki di bawah pentadbiran Recep Tayyip Erdoğan bersetuju mengenai penjualan sebahagian saham MAHB kepada GIP milik BlackRock.
Kata beliau lagi, kerajaan Turki pada hari ini sangat memusuhi negara haram Israel yang mana syarikat BlackRock adalah jelas bersifat pro-Zionis.
“Jadi saya tertanya-tanya sama ada kerajaan Turki bersetuju dengan perjanjian sebegini kerana mereka juga benci dengan BlackRock.
“Kita tidak mahu kerajaan Turki hilang kepercayaan terhadap MAHB dalam menguruskan Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (ISGIA).
“Lagipun, lapangan terbang ini juga antara yang memberi banyak keuntungan kepada MAHB itu sendiri.
“Kita tidak mahu tragedi 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) ini berlaku sekali lagi yang mana kali ini berbentuk perjanjian dengan syarikat pro-Zionis BlackRock pula.
“Maka, saya mengharapkan ramai Ahli Parlimen Dewan Negara untuk menentang pindaan RUU MAVCOM juga dalam perbahasan hari ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/7/2024




















