
KUALA LUMPUR: “Ketegasan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sebelum ini dalam mempertahankan polisi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang tidak membenarkan sumbangan daripada syarikat arak, rokok dan judi diberikan kepada pihak sekolah wajar dipuji.”
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin berkata demikian sambil menegaskan, selepas ini jangan pula ada pusingan-U apabila ditekan oleh rakan parti sendiri.
Ini berikutan tindakan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang melancarkan serangan tajam ke atas pendirian Fadhlina Sidek yang enggan mengecualikan sekolah Cina daripada larangan ini adalah bukti kebiadapan mereka di negara ini.
Tambah Hanif lagi, surat Pekeliling KPM jelas menyatakan bahawa tata cara penerimaan sumbangan di sekolah mestilah tidak melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya.
Namun, ujar beliau, hal ini gagal difahami oleh pemimpin DAP.
“Nampak gayanya, kelembutan dan kewibawaan kerajaan campuran semakin membuahkan hasil apabila topeng DAP sedikit demi sedikit berjaya dilucutkan.
“Pemimpin DAP semakin berani tampil membawa lagak menentang agenda negara yang bertentangan dengan perjuangan mereka,” ujarnya.
Beliau berkata, rentetan daripada isu ini ternyata telah lama golongan ini membakul sampahkan peraturan apabila Anthony Loke mendedahkan bahawa syarikat minuman keras telah mengumpul dana untuk sekolah-sekolah Cina sejak puluhan tahun.
Malah, Anthony Loke sendiri pernah menghadiri majlis seperti itu.
Tambah beliau, tidak perlu untuk PAS terus meratib menyedarkan rakyat tentang DAP. Kini, rakyat dapat menilai sendiri kebenarannya.
Oleh itu, Pemuda PAS menasihati Lim Guan Eng dan pimpinan parti DAP, jangan jadi pemimpin yang kurang ajar dan sesuka hati mencabar hak serta sensitiviti rakyat bumiputera di negara ini.
“Ingat, suara kesatuan kami masih membara dan bersedia untuk membaham kalian dalam pilihan raya selepas ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/7/2024




















