Insiden dron: Ketua jurulatih Kanada Olimpik Paris 2024 disingkirkan

Beverly Priestman kini bukan lagi ketua jurulatih pasukan bola sepak Kanada yang bertanding di Olimpik Paris 2024. (FOTO: Insauga)
- Advertisement -

PARIS: Pengurus bola sepak wanita Kanada, Beverly Priestman telah disingkirkan draripada jawatannya sebagai ketua jurulatih Olimpik dan digantung oleh persekutuan bola sepak negara itu ketika pertikaian berterusan selepas sebuah dron diterbangkan pada sesi latihan New Zealand pada Isnin lalu.

Canada Soccer berkata ia mengambil tindakan itu kerana ‘sejak 24 jam yang lalu, maklumat tambahan telah mendapat perhatian pihaknya mengenai penggunaan dron sebelum ini terhadap pasukan lawan, sebelum Sukan Olimpik Paris 2024’.

- Advertisement -

Priestman, 38, kelahiran Inggeris, telah ‘secara sukarela’ menarik diri daripada kemenangan pembukaan 2-0 pasukannya ke atas New Zealand pada Khamis, manakala pembantu Priestman, Jasmine Mander telah dihantar pulang dari Paris bersama-sama ‘penganalisis tidak bertauliah’, Joseph Lombardi.

Pada Khamis lalu, mahkamah Perancis berkata, Lombardi telah dijatuhkan hukuman penjara lapan bulan yang ditangguhkan selepas mengaku bersalah menerbangkan dron di kawasan bandar raya Paris tanpa lesen.

Dalam satu kenyataan, Ketua Eksekutif Canada Soccer, Kevin Blue mengesahkan Priestman akan digantung untuk baki temasya itu sementara ‘semakan luaran bebas’ dilakukan.

Penolong jurulatih, Andy Spence akan mengendalikan baki temasya itu, dengan perlawanan seterusnya  bagi pasukan pemenang pingat emas  Olimpik 2021 itu akan  menentang pasukan tuan rumah, Perancis pada Ahad (28 Julai) ini.

Terdahulu, Priestman mengesahkan dia bertanggungjawab atas tindakan rakan-rakannya selepas laporan pengadil yang difailkan oleh Lombardi dihantar kepada Mander.

Susulan insiden itu, Priestman berkata: “Saya pertama sekali ingin memohon maaf kepada pemain dan kakitangan di New Zealand Football dan kepada pemain pasukan Kanada. Ini (penggunaan dron untuk intipan) tidak mewakili nilai yang diperjuangkan oleh pasukan kami.

“Saya akhirnya bertanggungjawab untuk pengendalian dalam program kami.”

Sebelum itu juga, FIFA telah  membuka prosiding tatatertib mereka sendiri terhadap Priestman, Lombardi dan Mander pada Rabu.

Kelahiran County Durham, Priestman  memulakan kerjaya kejurulatihan profesionalnya dengan wanita Bawah 17 tahun Kanada pada 2013 sebelum mara ke pasukan Bawah 20 tahun.

Dia yang tidak bermain bola sepak secara profesional, kembali ke England untuk melatih pasukan wanita England Bawah 17 tahun.

Kualitinya dilihat pantas oleh Phil Neville pada 2018 apabila bekas ketua jurulatih wanita England itu membawa pemain berusia 38 tahun itu sebagai penolong jurulatihnya.

Selepas dua tahun bersama England, Priestman kembali ke Kanada untuk mengambil alih tugas sebagai pengurus, yang  mana dia membawa mereka merangkul emas Olimpik di Tokyo pada 2021, menewaskan Sweden menerusi penentuan penalti di final.

Hanya setahun kemudian Kanada mara ke final Kejohanan Concacaf W, tetapi dikalahkan 1-0 oleh Amerika Syarikat.

Kejayaan awalnya dalam pengurusan diikuti dengan kempen Piala Dunia yang mengecewakan pada 2023 selepas Kanada gagal mara dari peringkat kumpulan. -Agensi/– HARAKAHDAILY 26/7/2024

- Advertisement -