
KUALA LUMPUR: Keterlibatan syarikat arak ke dalam premis sekolah, termasuk memaparkan logo produk jenamanya, adalah bentuk promosi secara langsung kepada yang boleh membawa kepada normalisasi budaya minum arak.
Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras berkata, perkara tersebut boleh mempengaruhi kecenderungan pelajar di masa akan datang dalam pengambilan minuman beralkohol.
“Adalah amat mengecewakan rakyat Malaysia jika benar kenyataan dalam sebuah akhbar tempatan yang Timbalan Menteri Pendidikan tidak membantah tindakan menerima sumbangan daripada hasil minuman keras yang jelas bercanggah dengan pekeliling Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) 2018.
“Pekeliling yang dikeluarkan sejak 2018 ini mustahil masih tidak diambil maklum oleh pihak sekolah.
“KPM perlu memantau dengan lebih dekat setiap aktiviti sumbangan yang berlaku di sekolah selepas ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada tahun 2018, KPM mengeluarkan garis panduan penyaluran dan penerimaan sumbangan, termasuk daripada sektor swasta dan bukan swasta, untuk dipatuhi bagi memelihara nilai murni aspirasi rakyat ke atas institusi pendidikan negara.
Dalam Surat Pekeliling KPM itu dinyatakan tatacara penerimaan sumbangan adalah tidak melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya kerana boleh menjejaskan potensi murid dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Sehubungan itu menurut Ab. Halim, sekolah adalah institusi kedua terpenting bagi perkembangan anak-anak selepas keluarga.
“Justeru, bagi memelihara kemurnian pembangunan anak-anak di semua institusi pendidikan, maka semua sumber berkaitan termasuk kewangan mestilah juga berpunca daripada sumber yang baik.
“Tiada sebarang kompromi boleh diberikan kepada mana-mana sekolah yang cuba melanggar pekeliling KPM.
“Adalah sangat tidak profesional dan beretika bagi mana-mana pemimpin kerajaan yang tidak membantah tindakan seperti ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/7/2024




















