Ekonomi Kedah catat pertumbuhan RM51.8b tahun 2023

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kedah membuktikan kemampuan memacu pertumbuhan ekonomi dan terus menempa kecemerlangan sejak diterajui Perikatan Nasional (PN) di bawah pentadbiran Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

- Advertisement -

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin mengumumkan, Kedah berjaya meningkatkan pertumbuhan ekonomi kepada 1.6 peratus pada tahun 2023 dengan nilai ditambah sebanyak RM51.8 bilion berbanding RM51.0 bilion pada tahun sebelumnya.

Pertumbuhan itu bentangnya, disumbangkan oleh sektor perkhidmatan sebanyak 56.2 peratus dan menjadikan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Kedah meningkat serta berkembang ke 4.0 peratus dengan merekodkan nilai ditambah sebanyak RM29.1 bilion berbanding RM28.0 bilion pada tahun 2022.

“Pertumbuhan positif sektor ini didorong oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan termasuk utiliti, pengangkutan dan penyimpanan serta ICT yang masing-masing meningkat 5.3 peratus dan 5.0 peratus,” katanya dalam kenyataan semalam.

Walaupun katanya, sektor pertanian merekodkan penguncupan, tetapi sektor lain seperti pembuatan, pembinaan, ternakan dan lain-lain berlaku pertambahan, malah secara tidak langsung pertumbuhan positif subsektor ternakan telah mengimbangi penyusutan dan penurunan pada sektor pertanian.

“Penguncupan 2.8 peratus  di sektor pertanian dipengaruhi oleh penurunan dalam subsektor perikanan serta tanaman getah dan padi. Namun pertumbuhan positif subsektor ternakan telah mengimbangi penyusutan sektor berkenaan,” jelasnya.

Sementara sektor pembinaan bentangnya, telah mencatatkan sumbangan sebanyak 3.0 peratus, diikuti sektor perlombongan dan pengkuarian yang menyumbang 0.2 peratus.

Jelas beliau, sektor pembinaan melonjak 30.8 peratus berbanding pada tahun 2022 sebanyak 18.3 peratus dengan nilai ditambah RM1.6 bilion di mana prestasi itu didorong oleh subsektor aktiviti pertukangan khas dan pembinaan bangunan, masing-masing meningkat 43.7 peratus dan 23.6 peratus.

“Oleh itu dari aspek KDNK per kapita, Kedah mencatatkan RM26,353, iaitu peningkatan sebanyak RM274 daripada RM26,079 pada tahun sebelumnya,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 23/7/2024

- Advertisement -