
KUALA LUMPUR: “Tangan golongan yang memakan rasuah adalah jauh lebih hina daripada tangan yang memakan babi. Jangan hina bangsa Tionghua!”
Itu mesej penegasan Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari buat Datuk Aiman Athirah Sabu susulan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan tersebut dalam laporan Malaysiakini pada hari ini, menyifatkan PAS sebagai hipokrit kerana mengkritiknya menyertai acara kutipan dana sebuah Sekolah Kebangsaan Jenis Cina (SKJC) yang antaranya turut menerima sumbangan dari sebuah syarikat arak.
Lebih menimbulkan kontroversi, Aiman atau nama sebenarnya Raj Munni dalam laporan tersebut membidas, pemimpin PAS yang dikatakannya sebelum ini tidak pula mempunyai masalah bersalam dengan orang bukan Islam yang sedang minum arak atau makan babi.
“Masa kempen itu, dia kalau orang tengah minum arak pun tak apa. Makan babi pun tak apa.
“Baru lepas makan babi salam pun tak apa. Hipokrit,” kata anggota parlimen Sepang itu dalam laporan Malaysiakini tersebut.
Sehubungan itu, Fadhli menasihatkan Timbalan Menteri tersebut supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh membawa kepada penghinaan terhadap kaum Tionghua.
“Saya rasa yang paling baik Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Aiman Athirah Sabu) nyatakan bahawa ‘saya minta maaf, saya tak perasan ada promosi dari syarikat arak Tiger dalam majlis itu’, selesai.
“Ini dah melalut sampai isu tangan makan babi,” katanya dalam kenyataan di Facebook miliknya, hari ini.
“Orang persoalkan garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM, dan Menteri (Pendidikan) pun dah keluarkan kenyataan bahawa tiada pengecualian.
“Apa pula kaitan dengan tangan makan babi ni?” soal beliau.
Tambah Ahli Parlimen Pasir Mas ini, sebagai makluman, sebenarnya tiada masalah untuk umat Islam bersalam dengan tangan individu yang memakan haiwan tersebut.
“Ini kerana tiada hukum yang mengatakan tidak boleh asalkan bukan berlainan jantina yang bukan mahram,” jelasnya.
Kata beliau lagi, sebenarnya tangan golongan yang makan rasuah dan menipu rakyat adalah lebih hina daripada tangan yang memakan babi.
“Bagi saya, orang yang makan rasuah dan langgar janji dengan rakyat adalah lebih hina daripada tangan memakan haiwan tersebut. Maka, kita jangan menghina bangsa Tionghua.
“Adakah kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri bertujuan untuk menghina kawan-kawan kita kaum Tionghua? Saya hanya sekadar bertanya sahaja,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/7/2024




















