
KUALA NERUS: Sebanyak 63,000 benih dilepaskan dalam Program Pelepasan Benih Ikan Ke Perairan Umum di Kampung Jeram Hilir, di sini, pagi ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, benih itu terdiri daripada 3,000 ekor ikan Baung, 10,000 ekor Lampam Sungai dan 50,000 ekor udang galah.
Menurutnya, stok benih itu bekalan dari perolehan pembekal tempatan dengan anggaran nilai sebanyak RM20,500.
“Pada tahun 2024 Jabatan Perikanan Negeri Terengganu menerima RM135,000 peruntukan bagi perolehan benih ikan. RM85,000 adalah dari Kerajaan Negeri manakala RM50,000 dari Kerajaan Persekutuan.
“Jabatan membuat perolehan sebanyak 295,400 ekor melalui peruntukan yang disalurkan ini yang merangkumi Baung 21,500 ekor, Lampam Sungai (80,000 ekor), udang galah (190,000 ekor), Siakap (3,300 ekor) dan Kelah (600 ekor).
“Benih ikan ini akan dilepaskan di sungai-sungai terpilih di lapan daerah. Sehingga 18 Julai 2024 sebanyak 546,700 ekor benih ikan telah dilepaskan di 11 lokasi,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Azman, objektif utama program itu diadakan adalah untuk memulihara dan meningkatkan sumber bagi memastikan keterjaminan makanan, peningkatan ekonomi nelayan serta menjadi pemangkin kepada aktiviti perikanan rekreasi dan eko-pelancongan.
Sementara itu, beliau berkata, jumlah keseluruhan pelepasan benih ikan ke perairan umum di Negeri Terengganu pada tahun lepas adalah sebanyak 374,215 ekor dengan anggaran nilai RM147,037.50.
“Antara spesies yang dilepaskan adalah ikan Kelah, Baung, Lampam Sungai, Udang Galah, Sebarau, Siakap dan lain-lain.
“Program pelepasan benih ikan ini dijangka akan memberi manfaat bagi 183 orang nelayan darat yang berdaftar dengan jabatan, penduduk setempat serta pengusaha eko-pelancongan,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/7/2024




















