
KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan dicadangkan untuk memasukkan kos jentera yang digunakan dalam pertanian dalam penyelarasan semula subsidi diesel.
Senator Hussin Ismail berkata, kerajaan masih ada ruang untuk melakukan penilaian semula dalam penyelarasan semula subsidi diesel yang mana kos jentera-jentera pertanian tidak dimasukkan dalam perkara tersebut.
“Antaranya ialah traktor dan excavator yang digunakan untuk membuka tanaman baharu dan lain-lain. Sekarang ini harga kos mendadak naik sebab alasannya mereka tidak mempunyai harga subsidi yang dimasukkan dalam senarai 23 Perkara,” katanya.
Menurut beliau, Kementerian Kewangan juga boleh mempertimbangkan untuk memasukkan lagi beberapa perkara lain yang langsung mempunyai kepentingan terhadap petani-petani bawahan.
Kata beliau lagi, ini kerana petani-petani bawah sudah cukup terbeban apabila jentera-jentera pertanian itu sendiri tidak dimasukkan dalam 23 Perkara tersebut.
“Kos untuk angkut traktor pula, tak semua traktor ini berlesen roadtax menteri tetapi bila nak angkut sahaja kos pengangkutan long loader dalam estet dan lain-lain boleh naik melipat berganda-ganda menjadikan harga untuk menguruskan pertanian meningkat dengan banyak
“Jadi, saya mohon ruangan ini dapat diberi pertimbangan oleh pihak kementerian,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan di Dewan Negara, di sini, hari ini.
Sementara itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menjawab soalan itu menyatakan sudah ada beberapa penambahbaikan yang telah dilakukan dalam penyelarasan semula subsidi diesel.
“Yang pertama, pada mereka yang ada hasil antara RM50,000 ke RM300,000 setahun mereka boleh memohon Budi Agri-Komoditi. Jadi dengan memohon mereka boleh mendapat RM200 sebulan atau RM2,400 setahun,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/7/2024











