Rakyat diutamakan, bantu tanpa peruntukan kerajaan pusat

Ahmad Amzad Hashim
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim tetap meneruskan usaha membantu rakyat walaupun tanpa sebarang peruntukan kerajaan pusat.

Menurut Amzad, setiap hari beliau dihujani dengan rintihan rakyat yang memerlukan bantuan.

“Tidak putus-putus panggilan telefon serta surat-surat permohonan bantuan daripada rakyat.

“Tidak semua dapat dipenuhi namun saya akan berusaha mencari jalan bagi setidak-tidaknya membantu serba sedikit kalau pun tidak sepenuhnya melalui agensi-agensi kerajaan yang sesuai.

“Ada yang memerlukan bantuan sewa rumah, perubatan, keperluan hidup seperti barang dapur dan macam-macam lagi. Untuk kes-kes seperti ini kita akan salurkan maklumat kepada pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), kebajikan ataupun pusat zakat,” katanya. 

- Advertisement -

Beliau berkata, senario itu dilaluinya setiap hari, walaupun rakyat tahu bahawa ahli parlimen bukan kerajaan tidak diberikan peruntukan.

Menurut beliau, berbeza ketika Kerajaan Perikatan Nasional memerintah kerajaan, pada waktu itu ahli parlimen pembangkang diberi peruntukan.

“Sudahlah tidak diberi peruntukan, royalti yang merupakan hak rakyat negeri Terengganu turut dinafikan.

“Mengikut rekod, anggaran lima peratus yang patut diterima kerajaan pada 2023 adalah RM1.524 bilion, tetapi hanya RM802 juta dibayar, sekali gus menjadikan baki belum dibayar sebanyak RM722.74 juta.

“Bagi 2024 pula, pembayaran pertama iaitu sehingga Mac lalu adalah RM302 juta berbanding anggaran sepatutnya dibayar adalah RM762 juta, belum dibayar RM460.21 juta, ini menjadikan jumlah hutang sebenar RM1.182 bilion,” katanya.

Beliau berkata, ketika era pentadbiran PAS, inisiatif baharu berbentuk kebajikan terus kepada rakyat dirancakkan, antaranya I-fitri, I-siswa, pencen rakyat, kad sejahtera, wad kelas tiga percuma, lesen motosikal percuma, penghapusan cukai pintu dan banyak lagi.

“Semua bantuan kebajikan ini menggunakan duit royalti yang diterima, ia mengalir terus kepada rakyat, bayangkan jika ia disekat,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/7/2024

- Advertisement -