Kamala lagi mudah ditewaskan – Trump

Donald Trump dan Kamala Harris.
- Advertisement -

WASHINGTON: Calon presiden dari parti Republikan, Donald Trump menyatakan bahawa Naib Presiden Amerika Syarikat, Kamala Harris lebih mudah untuk ditewaskan pada pilihan raya presiden November ini, berbanding Joe Biden yang telah menarik diri dari bertanding.

Menerusi hantaran di laman Truth Social miliknya, Trump mendakwa Biden sebagai ‘tidak layak untuk bertanding jawatan Presiden dan sudah tentu tidak layak untuk berkhidmat.’ 

- Advertisement -

Dakwaan itu sebahagian besarnya disebabkan oleh faktor usia dan kesihatan mental Biden yang menjadi kerisauan dalam kalangan ahli Demokrat sendiri. 

“Kami akan sangat menderita kerana jawatan presidennya (Biden), tetapi kami akan membetulkan kerosakan yang dia lakukan dengan cepat,” katanya menerusi hantaran berkenaan, lapor Reuters.

Terdahulu, Joe Biden pada Ahad mengumumkan beliau akan menamatkan kempen dan menarik diri dalam pemilihan semulanya sebagai Presiden Amerika Syarikat, sambil mengumumkan naib presidennya, Kamala Harris sebagai penggantinya mewakili parti Demokrat. 

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, kempen Trump dan beberapa sekutunya telah melancarkan serangan politik terhadap Harris bagi memburukkan namanya di tengah-tengah khabar angin bahawa Harris akan menggantikan Biden dalam pilihan raya presiden.

Trump dan parti Republikannya telah menuduh Harris gagal menyekat aliran berjuta-juta pendatang asing yang menyeberang secara haram ke Amerika Syarikat, walaupun Harris tidak pernah bertanggungjawab secara langsung untuk mengawal sempadan selatan negara itu.

Trump dan Biden sebelum ini terikat dalam tinjauan pendapat yang dilakukan. Namun, selepas sesi perdebatan pertama antara kedua mereka pada 27 Jun lalu, populariti Biden telah merudum dengan teruk disebabkan prestasi debatnya yang dianggap sebagai ‘bencana’ kepada diri dan partinya sendiri. – HARAKAHDAILY 22/7/2024

- Advertisement -