
KOTA BHARU: Ketika berada di saf pembangkang pemimpin Pakatan Harapan (PH) menjanjikan demokrasi lebih terbuka dan telus, namun selepas memiliki kuasa politik lain pula jadinya.
Pakar Psikososio, Dr Zulkeflee Yaacob berkata, apa yang berlaku sekarang amat malang yang memperlihatkan penguasaan parlimen secara ‘kuku besi’ oleh pemimpin PH.
Katanya, keputusan dibuat Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul menggantungkan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dianggap sebagai tindakan luar stability.
“Ahli Parlimen Machang lantang mengkritik penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada syarikat berkaitan Blackrock digantung selama enam bulan daripada menghadiri sidang parlimen.
“Rakyat melihat tindakan zalim kerana kes surat layang sehingga mahu menutup mulut wakil rakyat yang berjuang untuk masa depan rakyat di negara ini,” katanya di sini.
Pada Khamis lepas, Johari menggantung Wan Ahmad Fayhsal daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan susulan dakwaan berkaitan surat layang maklumat berkaitan dalang di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Usul berhubung penggantungan itu dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Tindakan Speaker Dewan Rakyat dikecam pelbagai pihak termasuk peguam antaranya Jalil Backer dengan menganggap PH mengulangi mantera mengugut rakyat dengan isu 3R dan undang-undang berkaitan media sosial.
Dr Zulkeflee juga berkata, rakyat perlu mempertahankan prinsip kebebasan bersuara bukan diam ubi biarpun makin berisi.
“Dalam tempoh lama bahananya tetap busuk sinonim rosak fungsional sistem bernegara sekali gus mudarat nilai hidup legasi masyarakat.
“Speaker tidak memberi hak kepada yang dituduh menjawab suatu keterlaluan yang bercanggah dengan nilai dan prinsip Perlembagaan Persekutuan bawah Artikel 62 dan 63,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 22/7/2024











