Kes hasutan: Bicara Sanusi ditangguh dua bulan

Muhammad Sanusi di luar Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor pada hari ini, 22 Julai 2024.
- Advertisement -

SHAH ALAM: Perbicaraan kes hasutan membabitkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang dijadualkan bermula hari ini telah ditangguhkan selama dua bulan.

Penangguhan itu dibuat selepas peguam yang mewakili Sanusi, Awang Armadajaya Awang Mahmud memberitahu Hakim, Datuk Aslam Zainuddin bahawa pihak pembelaan telah memfailkan surat representasi keduanya kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada minggu lalu.

- Advertisement -

“Saya percaya peguam negara memerlukan masa untuk mempertimbangkan representasi itu. Oleh itu saya mencadangkan penangguhan selama dua bulan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Masri Daud mengesahkan Pejabat Peguam Negara ada menerima surat representasi itu.

“Pendakwaan mengesahkan menerima representasi dalam kes ini, bagaimanapun kami memerlukan sedikit masa untuk meneliti permohonan tertuduh,” ujarnya.

Mahkamah Tinggi Shah Alam kemudiannya menetapkan 27 September ini untuk sebutan semula kes berkenaan. 

Terdahulu, pada 18 Julai 2023, Sanusi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan berkenaan dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 1 Februari lalu untuk dibicarakan.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri telah mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk membatalkan dua pertuduhan dihadapinya, bagaimanapun representasi itu telah ditolak oleh AGC.

Sanusi didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau berdepan dua pertuduhan menghasut berhubung pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan kerajaan perpaduan dalam satu ceramah politik di di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak pada jam 11 malam, 11 Julai 2023. – HARAKAHDAILY 22/7/2024

- Advertisement -