
PADANG SERAI: Kebanyakan tetamu dan petugas di majlis perkahwinan anak bongsu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merbau Pulas, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali sanggup pulang lewat demi untuk berjumpa dengan jemputan VIP, Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
“Saya dengar kata, MB Kedah nak datang. Saya nak tunggu sebab teringin nak jumpa dia,” kata salah seorang tetamu ketika makan bersama di khemah.
Kehadiran Sanusi pada petang itu juga menjadikan majlis kenduri walimah bertukar kepada pesta bergambar.
Semua yang hadir ketika itu, tidak melepaskan peluang bergambar kenang-kenangan, tidak terkecuali para petugas majlis terbabit.
Sementara itu, Ashah yang juga Exco Kerajaan Negeri Kedah, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Besar kerana sudi hadir ke majlisnya walaupun padat dengan acara rasmi.
Sementara itu, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dan isteri merupakan antara tetamu yang turut menyerikan majlis yang diadakan pada Sabtu, 17 Februari lalu.
Majlis yang diadakan di Dataran Masjid Saidina Umar Al-Khatab, Taman Desa Aman itu, meraikan perkahwinan anak bongsu Ashah, Mohammad Hassan Zuhdi Ramli bersama pasangan pilihannya Nur Fatin Liyana Rosli. – HARAKAHDAILY 20/2/2024




















